PUTRAJAYA: Para peminat kajian astronomi tempatan antara jutaan penduduk di beberapa negara berpeluang menyaksikan fenomena penghijaban Zuhrah oleh bulan lewat pagi Jumaat ini.
Menurut kenyataan Agensi Angkasa Malaysia (MySA), fenomena alamiah tersebut atau disebut sebagai Lunar Occultation of Venus dapat dilihat beberapa minit bergantung kepada lokasi.
“Ketika fenomena ini, bulan berada dalam fasa bulan sabit iaitu tampak 10.5 peratus dan Zuhrah dihijab bermula 10 pagi di kawasan langit Timur,” katanya menerusi kenyataan.
Pemerhati yang berminat boleh menggunakan aplikasi astronomi tertentu seperti TheSky, SkySafari atau Stellarium untuk membuat proses simulasi sendiri dari lokasi masing-masing.
Penghijaban merupakan fenomena bulan kelihatan melintas di hadapan planet tersebut dari arah pandangan bumi seolah-olah terlindung seumpama gerhana sebelum muncul semula.
Peristiwa yang nadir sebegini ujar Mysa, juga boleh disaksikan dengan hanya menggunakan teleskop, binokular atau teropong berkuasa tinggi namun bergantung keadaan semasa langit.
Dalam pada itu, pakar astronomi tempatan terkenal, Shahrin Ahmad menerusi catatan laman sesawang FalakOnline berkata, waktu kejadian penghijaban adalah berbeza di setiap lokasi.
Misalnya ujar beliau, di Kuala Lumpur, proses itu akan bermula pukul 10.19:45 pagi dan berakhir 10.20.35 pagi, manakala di Kota Bharu pula ialah 10.29:55 pagi dan tamat 10.30:47 pagi.
Penduduk Sabah dan Sarawak paling lewat menyaksikan fenomena itu dengan Kota Kinabalu yang dianggap lokasi terakhir dijangka mulai 11.03:01 pagi sebelum selesai 11.03:53 pagi.
Fenomena ini juga dapat dilihati di sebahagian besar rantau Asia Tenggara, wilayah tenggara China, Hong Kong, Macau, Taiwan serta gugusan Mauritius dan Maldives di Lautan Hindi.
Shahrin menambah, penghijaban planet sebenarnya amat jarang dapat dilihat di langit Malaysia dengan rekod yang paling akhir pernah berlaku pada 2014 lalu sekitar pukul 2 petang.
“Memandangkan kali ini berlaku hampir waktu tengah hari, maka langit sudah terang dengan cahaya matahari dan penghijaban Zuhrah tidak boleh dilihat secara mata kasar,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan orang awam agar berhati menggunakan teleskop pada waktu siang dan jangan dihala terus ke arah matahari kerana boleh menyebabkan mata menjadi buta.
Bulan ujarnya, lazim bergerak pada kadar 0.5 darjah setiap jam dan jika ada objek atau jasad samawi seperti planet atau bintang berdekatannya, kesan pergerakan itu dapat dilihat jelas.- UTUSAN