MELAKA: Kedudukan serta pelantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selaku Ketua Menteri Melaka Ke-13 adalah tertakluk kepada janji pilihan raya negeri (PRN).
Tegas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, jika benar desas-desus yang mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan, pihak terlibat dinasihatkan menyelesaikannya secara perundingan dalaman dan tidak perlu diperbesar-besarkan.
Katanya, sehingga kini, beliau tidak dapat mengesahkan kebenaran di sebalik dakwaan tersebut, sama ada benar-benar berlaku ataupun sekadar khabar angin.
“Jika benar pun paksaan itu wujud, yang setakat ini saya pun tidak tahu. Saya ingin menasihatkan semua pihak supaya menyelesaikannya secara perundingan dalaman dan tidak perlu diperbesarkan.
“Sebagai wadah politik yang berpengalaman di negara ini, setiap keputusan yang dibuat di mana-mana peringkat adalah selari dengan pucuk pimpinan parti.
“Selama puluhan tahun, UMNO telah dilanda dengan pelbagai isu, namun parti keramat ini terus kuat kerana kita mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas itu dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Utusan Online melaporkan, khabar angin yang mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri dalam masa terdekat, dianggap sengaja diadakan pihak tidak bertanggungjawab.
Kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, lima ketua bahagian di negeri ini sebulat suara mempertahankan ADUN Lendu itu terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga habis penggal.
Dalam pada itu, tambah Abdul Razak, fokus kerajaan negeri hari ini adalah janji-janji pada PRN Melaka seperti mana terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN).
“Sebagai Exco, saya akan berusaha sedaya-upaya saya untuk melunaskan janji-janji tersebut bersama rakan-rakan yang lain. Keutamaan kami adalah untuk memastikan agar kesejahteraan rakyat Melaka secara keseluruhannya sentiasa terbela,” jelasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka. – UTUSAN