PUTRAJAYA: Penetapan etika berpakaian kepada pelanggan sewaktu hadir berurusan di jabatan kerajaan adalah bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan bersama, sesuai dengan budaya berbilang bangsa di Malaysia.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah berkata, penampilan yang baik mencerminkan ketertiban dalam urusan rasmi kerajaan.
“Penetapan etika berpakaian ini turut dipraktikkan di jabatan kerajaan di Jepun, United Kingdom dan Australia serta negara-negara ASEAN seperti Filipina dan Thailand.
“Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam kepada Keluarga Malaysia sentiasa relevan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui ketua-ketua jabatan akan terus memperkukuhkan program-program latihan kepada petugas kaunter di barisan hadapan dan menyebar luas kefahaman sedia ada mengenai etika berpakaian pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu susulan laporan berita baru-baru ini berkaitan etika berpakaian ditetapkan kepada pelanggan yang hadir berurusan di jabatan kerajaan telah menyebabkan ketidakselesaan kepada segelintir pelanggan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dilaporkan membantah tindakan beberapa agensi perkhidmatan kerajaan yang dikatakan cuba menetapkan kod pakaian kepada orang awam yang mahu datang menyelesaikan urusan.
Mengulas lanjut, Mohd. Shafiq berkata, selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan platform digital dalam urusan perkhidmatan awam, Keluarga Malaysia digalakkan berurusan secara dalam talian melalui aplikasi atau portal yang disediakan.
“Ini secara tidak langsung dapat mempercepatkan akses terhadap perkhidmatan yang disediakan selain mengurangkan karenah birokrasi. Sehingga kini, terdapat 389 platform perkhidmatan secara dalam talian yang dibangunkan kerajaan.
“Keluarga Malaysia boleh mencapai perkhidmatan secara menyeluruh (end-to-end services) melalui portal MyGovernment dan satu Gerbang Rasmi Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan (GOS Gateway),” jelasnya.
Katanya lagi, usaha berterusan ini akan menjamin kesempurnaan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat secara keseluruhannya. – UTUSAN