Empat senior mengaku salah cederakan pelajar tingkatan satu

Empat senior mengaku salah cederakan pelajar tingkatan satu

EMPAT pelajar sebuah sekolah didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar tingkatan satu sekolah yang sama. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Empat pelajar senior lelaki sebuah sekolah menengah di daerah ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar tingkatan satu sekolah sama pada 13 Mei lalu.

Kesemua pelajar berusia 15 dan 16 tersebut membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norzaliza Tesmin.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd. Azman memaklumkan hukuman ke atas kesemua tertuduh akan dijatuhkan 22 Jun ini selepas pendengaran laporan akhlak pada tarikh sama.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa yang berusia 13 tahun dengan cara memukulnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di asrama putera sebuah sekolah menengah di Seremban lebih kurang pukul 12 tengah malam, 13 Mei lalu. Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum dengan penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. 

Terdahulu, keempat-empat pelajar berkenaan tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira pukul 9 pagi bersama ibu bapa masing-masing selain ibu bapa kepada mangsa turut hadir. 

Sebutan kes diadakan secara tertutup yang mana Majistret meminta mahkamah dikosongkan dan hanya ibu bapa kepada tertuduh juvana dibenarkan berada di dalam kamar.

Sebelum ini media melaporkan, seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah projek sukan itu dipukul dan disepak sehingga mengalami lebam di badan dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam, 13 Mei lalu. 

Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami lebam, sakit di bahagian badan, pinggul, tangan dan bahu selain disahkan mengalami retak di pergelangan tangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya