'Duit saya cukup untuk bayar hutang kad kredit'

Duit saya cukup untuk bayar hutang kad kredit – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, baki wang dalam akaun peribadi beliau lebih daripada mencukupi untuk membayar hutang kad kredit miliknya untuk tempoh dua tahun di antara 2014 dan 2016.

Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden UMNO sekali lagi menegaskan Setiausaha Eksekutifnya ketika itu, Mejar Mazlina Mazlan cuai menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk melunaskan bil kad kredit, walhal beliau mempunyai baki yang mencukupi untuk membayarnya.

“Mungkin ini kecuaian (Mazlina) kerana tidak menggunakan cek daripada akaun peribadi saya untuk membayar semua kad kredit,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri ketika menjawab oalan peguam Hamidi Mohd. Noh pada sesi pemeriksaan utama.

Terdahulu, beliau dirujuk kepada butiran akaun Maybank miliknya antara 2014 hingga 2016 yang menunjukkan baki maksimum RM600,000 manakala bil kad kredit maksimum yang perlu dibayar untuk tempoh yang sama adalah RM215,000.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyatakan demikian pada sesi pemeriksaan utama dalam prosiding bela diri yang masuk hari kelima.

Ujar Ahmad Zahid, Mazlina ketika memberi keterangan pada perbicaraan lalu mengakui melakukan kecuaian kerana membayar hutang kad kredit secara berlebihan dan pernah terkurang membayarnya.

Menurut Ahmad Zahid, Mazlina dipertanggungjawab mengendalikan pengurusan kewangan peribadi miliknya dan Yayasan Akalbudi serta menjaga dan menguruskan cop tandatangan bagi menandatangani sijil penghargaan dan kad-kad perayaan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan itu.

Dalam keterangannya, Ahmad Zahid turut menyatakan, wang berjumlah RM13 juta untuk Yayasan Akalbudi yang dimasukkan ke dalam firma guaman Tetuan Lewis & Co bukan rasuah, sebaliknya sumbangan seorang ahli perniagaan untuk membangunkan masjid dan sekolah tahfiz di Bagan Datuk.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah menjanjikan apa-apa projek MyEG kepada ahli perniagaan itu, Junaith Asharab Md. Shariff sebagai balasan kepada sumbangan yang diberikan kerana MyEG bukan di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ujar beliau, Junaith dalam keterangannya turut menyatakan beliau mampu memberikan sumbangan kerana keluarganya dikenali ramai manakala keluarga mertuanya juga kaya raya.

Menurut Ahmad Zahid, Junaith merupakan seorang berketurunan India Muslim berasal daripada keluara yang sangat kaya dan berkemampuan melebihi rakyat biasa.

Ujarnya, Junaith pernah menyumbang bagi pembinaan sebuah masjid di India yang mana tulisan 30 juzuk ayat-ayat Al-Quran pada masjid itu dibuat daripada emas manakala perkataan ‘Bismillah’ pada permulaan setiap surah dibuat daripada berlian.

Dalam keterangannya, tertuduh menegaskan beliau tidak tahu menahu mengenai pinjaman sebanyak RM250,000 dibuat oleh Junaith yang juga pemilik syarikat Berani & Jujur Trading kepada adik beliau, Datuk Seri Mohamad Nasaee.

Bekas Timbalan Perdana Menteri turut menafikan menerima cek daripada Syarikat Jogabonito Jewellery and Diamonds melalui Junaith sebagai membantu Mastoro Kenny IT Consultant & Services mendapatkan projek MyEG.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya