Dua beranak genggam PhD, ijazah sarjana serentak

Dua beranak genggam PhD, ijazah sarjana serentak

MOHD. Shakri Yaacob melihat PhD dan ijazah sarjana yang diterima Masrina Akmal Salleh (tengah) dan Nur Aiman Amini dalam Konvokesyen UTM ke-65 di UTM Skudai, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Konvokesyen Ke-65 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, dekat sini menjadi detik paling indah buat dua beranak yang menggenggam skrol pengajian masing-masing selepas berhempas pulas mengikuti pengajian.

Lebih manis, Dr. Masrina Akmal Salleh, 51, menerima doktor falsafah (PhD) daripada Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, manakala anaknya, Nur Aiman Amini Mohd. Shakri, 26, menerima ijazah sarjana daripada Pro Canselor, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Masrina Akmal berkata, dia tidak menyangka menerima skrol PhD pada hari pertama yang disampaikan Permaisuri Johor, manakala Nur Aiman menerima ijazah sarjana pada hari ketiga daripada isteri Tunku Mahkota Johor.

Katanya, sepanjang mengambil PhD, dia berdepan dengan perkhabaran duka apabila bapanya meninggal dunia pada hari dia mengambil peperiksaan lisan.

“Hanya Allah sahaja tahu perasaan saya ketika itu yang berada di Johor Bahru, manakala ayah saya di Besut, Terengganu. Perasaan saya tidak tenang dan stabil, mujur suami, Mohd. Shakri Yaacob ada di sisi menenangkan saya,” kata pemegang PhD Sistem Maklumat dalam Fakulti Kejuruteraan itu.

Dia yang mula menyambung pengajian PhD sejak 2016 hingga tahun lalu mengakui terpaksa bekerja keras dan mengamalkan disiplin tinggi, walaupun terpaksa membantu suami yang merupakan seorang konsultan dalam bidang pertanian.

Sementara itu, Nur Aiman yang merupakan anak sulung daripada empat beradik menerima ijazah sarjana dalam bidang bioteknologi, setelah mendapat ijazah sarjana muda di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kampus Melaka dari tahun 2015 hingga 2019.

“Saya terus sambung master di UTM pada 2019 dan tamat pada 2022, macam tak percaya dapat master seawal tiga tahun kerana saya cepat menghantar tesis berbanding rakan-rakan lain,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang penyelidik dalam bidang itu.

Dalam pada itu, pasangan adik-beradik, Dr. Nur Syamimi Mohd. Jani, 33, dan Dr. Nur Syazwani, 32, turut berbangga dengan pencapaian mereka menerima ijazah sarjana dalam bidang penjagaan kesihatan dan bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Dr. Nur Syamimi turut tidak menyangka akan menerima skrol serentak dengan adiknya memandangkan majlis konvokesyen dia sepatutnya pada tahun lepas tetapi ditunda disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seronok dapat naik pentas sama-sama dengan adik dan rasa berbaloi dengan kehadiran kedua ibu bapa kami,” katanya yang kini bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Port Dickson dan memiliki empat anak.

Adiknya pula yang pernah belajar di Universiti Mansoura, Mesir dalam bidang perubatan selama enam tahun turut sama dengan kakaknya merancang pengajian di peringkat PhD pula. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN