Dr. Asri, tiga lagi bantah permohonan ibu cabar pengislaman anak - Utusan Malaysia

Dr. Asri, tiga lagi bantah permohonan ibu cabar pengislaman anak

MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan tiga lagi hari ini membantah terhadap permohonan ibu tunggal, Loh Siew Hong untuk mendapatkan kebenaran mencabar pengislaman tiga kanak-kanak yang dilakukan oleh bekas suaminya tanpa kebenaran wanita terbabit.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Mohd. Asri, Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis selaku responden turut membantah terhadap permohonan wanita itu untuk mendapatkan lanjutan masa.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam A. Srimurugan yang mewakili Siew Hong.

“Responden mengemukakan bantahan atas alasan pemohon (Siew Hong) sepatutnya memfailkan permohonan itu dalam masa 90 hari selepas ketiga-tiga anaknya memeluk agama Islam pada 7 Julai 2020.

“Sekiranya betul berlaku kelewatan, pihak kami telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan lanjutan masa. Tetapi relif ini juga telah dibantah oleh pihak responden.

“Bagi kami kelewatan tersebut tidak berlaku kerana Siew Hong hanya mengetahui mengenai pengislaman anak-anaknya pada 10 Mac lalu dan permohonan kebenaran semakan kehakiman telah difailkan pada 25 Mac lalu,” kata peguam itu ketika dihubungi media selepas prosiding tersebut.

Pada prosiding hari ini, kesemua responden diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Ainul Wardah Shahidan serta peguam-peguam Hanif Khatri Abdulla dan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Pada 25 Mac lalu, Siew Hong memfailkan permohonan semakan kehakiman tersebut dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonan yang difailkan, wanita itu antara lainnya memohon agar anak-anaknya, iaitu pasangan kembar berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan-akuan memeluk agama Islam kesemua kanak-kanak tersebut bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Siew Hong turut memohon deklarasi bahawa bekas suaminya, M. Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya dan ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak mempunyai keupayan di sisi undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenaran daripada wanita terbabit.

Media sebelum ini melapor bahawa bahawa Nagahswaran yang telah memeluk agama Islam telah menukar agama anak-anak mereka pada Julai 2020 selepas berpisah dengan Siew Hong pada Mac 2019. Pasangan itu sah bercerai sekitar 2021.

Nagahswaran didakwa telah melarikan ketiga-tiga anak tersebut sebelum menempatkan mereka di sebuah pusat jagaan badan bukan kerajaan (NGO) walaupun Siew Hong mendapat hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021.

Nagahswaran kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan jenayah.

Selain itu, Siew Hong turut memohon Pendaftar Mualaf Negeri Perlis membatalkan kad memeluk agama Islam anak-anaknya itu dan memadamkan nama anak-anaknya daripada Daftar Mualaf Negeri Perlis 

Siew Hong turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Mohd. Asri atau mana-mana pegawai, pekerja atas ejen Jabatan Mufti Negeri Perlis untuk membuat sebarang kenyataan yang secara jelas atau tersirat bahawa anak-anaknya itu merupakan mualaf atau beragama Islam.

Ibu tunggal itu turut memohon deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak tanpa kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa adalah bertentangan dengan perlembagaan, tidak sah dan terbatal.

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga beradik yang sebelum ini diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dikembalikan kepada Siew Hong serta-merta selepas membenarkan permohonan habeas corpus wanita itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya