BESUT: Dua pengunjung termasuk seorang kanak-kanak terkena sengatan obor-obor merah, Irukandji ketika bermain bot pisang di Pantai Bukit Keluang di sini, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, kejadian pertama berlaku pada pukul 2.45 petang melibatkan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun manakala kes kedua menimpa pemuda berusia 32 tahun, pada pukul 6.30 petang.
Katanya, kedua-dua mangsa terkena sengatan haiwan itu semasa di dalam air ketika bermain bot pisang.
“Rawatan awal diberikan dengan meletakkan cuka di bahagian terkena sengatan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak melakukan aktiviti air termasuk di pantai berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ramlan, setakat ini tiada kes sengatan dikesan di pesisiran Pantai Bukit Keluang. – UTUSAN