Dipenjara, denda RM10,000 pandu melulu halang konvoi TYT Sarawak

Dipenjara, denda RM10,000 pandu melulu halang konvoi TYT Sarawak

ERDY Errwan Hamdan dihadapkan ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas disyaki menghalang polis yang mengiringi konvoi Yang Dipertua Negeri Sarawak di Lebuh Raya Sultan Iskandar, Jumaat lalu. - FOTO/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipenjara 12 hari dan didenda RM10,000 oleh dua Mahkamah Majistret di sini kerana memandu secara berbahaya dan menghalang polis yang mengiringi konvoi Yang Dipertua Negeri Sarawak di Lebuh Raya Sultan Iskandar, Jumaat lalu.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM3,000 terhadap Erdy Errwan Hamdan, 36, selepas dia mengaku bersalah menghalang tugas penjawat awam.

Majistret Amanina Mohamad Anuar pula menjatuhkan hukuman penjara lima hari dan denda RM7,000 terhadap pekerja syarikat penyelenggaraan itu atas kesalahan memandu melulu dan berbahaya.

Tertuduh juga hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Mengikut pertuduhan, Erdy Errwan didakwa sengaja menghalang Lans Koperal Mohd. Azwar Iqbal Chinang daripada menjalankan fungsi rasminya iaitu mengiringi Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Ketika kejadian, tertuduh memandu kereta Honda Civic berwarna kuning dengan cara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Kesalahan dilakukan di Lebuh Raya Sultan Iskandar di sini pukul 10 malam dan 11.30 malam pada 6 Mei lalu.

Bagi kesalahan menghalang penjawat awam, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara bagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Norazman dan Pegawai Pendakwa Inspektor Abdullah Khazali masing-masing memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Erdy Errwan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia yang berpendapatan kira-kira RM1,700 perlu menanggung isteri serta dua anaknya masing-masing berumur enam dan tiga tahun selain bapanya baharu meninggal dunia.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, konvoi TYT diiringi oleh anggota polis melalui Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala susur keluar ke Jalan Tunku Abdul Halim.

Ketika itu, sebuah kereta Honda Civic dipandu secara melulu di lorong kiri jalan sehingga menyebabkan berlaku pergeseran dengan sebuah kenderaan lain.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka berdurasi 0.53 minit, Honda Civic itu meluncur laju dan memintas konvoi melalui laluan kecemasan di kiri jalan serta mengabaikan isyarat juruiring supaya keluar dari laluan konvoi.

Akhbar melaporkan, polis menahan seorang lelaki kerana menghalang tugas penjawat awam selain memandu secara berbahaya dalam kejadian di Lebuh Raya Sultan Iskandar, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata suspek ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN