Dimaki, dicaci sehinanya jadi makanan harian - Dee Jangan Ketawa

Dimaki, dicaci sehinanya jadi makanan harian – Dee Jangan Ketawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMA kami berbual. Kalau boleh diulang momen itu, banyak lagi soalan yang saya mahu layangkan. Dia menyimpan pelbagai kisah. Yang buat hati saya tersentuh, kasihan dan kagum dengannya.

Dia bukan artis paling popular negara. Tidak pernah pegang mana-mana trofi. Tetapi namanya mekar di laman seni. Jenakanya satu ketika dulu masih berlari-lari anak dalam fikiran. Dia dekat dengan kita.

Abang Dee. Figura seni yang cukup lama saya simpan hasrat untuk membingkaikannya. Jadi, sempena lebaran ini saya raih peluang. Mengorek dalam isi hati insan seni ini, yang pernah menceriakan hidup kita semua.

Saya hulurkan soalan pertama, sukarkah perjalanan seorang Dee? Yang di mata kasar kita penuh warna warni, keceriaan. Namun hakikatnya, adakah hidupnya semeriah dan segah yang disangka?

Dee membalas dengan senyuman kecil. Mungkin dia sedang menghubungkan sel sel ingatan. Mengimbau pelayaran seni hampir empat dekad. Baginya, hidup sebagai anak seni tiada sesalnya.

“Macam-macam abang pernah lalui. Dimaki, dihina memang makanan harian. Dulu tak sama dengan sekarang. Sampai kena ban program Jangan Ketawa selepas tiga musim. Mereka tak dapat terima jiwa seni abang ketika itu.

“Abang sebenarnya seorang yang pemalu. Rendah diri kerana rasa diri terlalu tinggi dan kurus. Keyakinan itu dibina sedikit demi sedikit. Bermula sebagai jurumekap dan penata gaya. Ketika macam-macam orang kata dik.

“Pondan, bapuk semua abang hadap. Tapi abang tadah juga muka. Sebab ummi dan abah serta atuk abang selalu ingatkan, apa niat abang masuk industri seni. Abang telan satu-satu hinaan itu,” katanya.

Lantas saya tanya, adakah dia sudah maafkan semua seikhlasnya? Adakah dia melupakan detik hitam itu? Tatkala dia dihina sebagai ‘pelopor’ dunia pengacara lelaki berpakaian wanita secara profesional.

“Dalam perjalanan hidup ini, macam-macam jenis manusia abang jumpa. Yang memuji, mengata, fake semua dah rasa. Abang bukan datang dari keluarga kaya raya. Sederhana sahaja, cukup makan.

“Tetapi itu yang menjadikan abang kuat sehingga sekarang. Dulu memang hadap, pakai baju-baju designer mahal-mahal. Tetapi sekarang, biasa-biasa sahaja. Kita sudah rasa turun naik hidup.

“Ikhlas dari hati, abang maafkan semua. Yang menghina, mengata, mencaci, abang maafkan. Sudah namanya hidup sebagai anak seni, itulah harga yang perlu dibayar,” katanya tenang.

IMPI PENGAKHIRAN BAIK

Melayari garis masa media sosial pemilik nama sebenar Syed Muradzi Syed Shamsul ini, terlihat wajah-wajah anak-anak kecil tersenyum manis. Saya tertanya-tanya, siapa mereka? Mengapa kelihatan mesra benar dengan abang Dee.

“Itu anak-anak kiriman Tuhan yang abang jaga. Abang yang besarkan mereka dari sekecil tapak tangan. Sudah lama sebenarnya abang melibatkan diri dalam dunia pertubuhan bukan kerajaan ini. Lebih kurang 15 tahun.

“Tetapi abang lebih selesa di belakang tabir sahaja. Abang tak mahu bawa fitnah. Dulu abang fikir, kalau orang tahu mesti ada yang mengata dan menghina. Bapuk tua tak sedar diri, nak jaga anak-anak kiriman Tuhan ini pula.

“Allah beri ujian yang banyak kepada abang. Tapi abang tanya seorang ustaz; Ustaz, saya ini orang seni. Buat duit dengan cara yang dilihat hina oleh segelintir orang, saya bantu dan beri mereka makan. Bagaimana ustaz.

“Jawab ustaz itu mudah, apa niat awak. Apa nawaitu abang menjaga 55 anak syurga itu. Satu sahaja, abang impikan pengakhiran yang baik. Hidup abang tidak sempurna dik. Banyak kurangnya,” katanya.

Di tangga usia 60 tahun, dia kini menjalani kehidupan seadanya. Populariti, glamor sudah puas dia gapai. Tiada apa yang mahu dibuktikan. Sekarang, fokusnya kepada mencari rezeki untuk berkongsi bersama.

“Dalam hidup kita kena tahun apa arah tujunya. Ke mana kita? Tidak kira dalam dunia seni atau lain-lain. Jangan kejar sesuatu yang akhirnya membawa derita. Bekerja dengan adab dan profesional.

“Kita kena tahu kemampuan diri. Jangan terlalu mencuba, kelak tergelincir. Hidup umpama roda dik, satu masa nanti kita akan ke bawah, Ketika itu, kita akan sedar, apa yang kita mahu dan perlu hanyalah satu pengakhiran kehidupan yang terbaik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya