GEORGETOWN: Seorang ibu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera dua anaknya masing-masing berusia tiga dan lima tahun dalam kejadian pada pertengahan bulan lalu.
Jenny Oon Wei Wei, 28, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan penderaan dan penganiyaan kepada dua anaknya iaitu lelaki berusia tiga tahun dan perempuan (lima tahun) sehingga mengakibatkan kecederaan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 13 hingga 27 Mei lalu di Blok J-13-8 Flat Rifle Range, Jalan Air Itam di sini.
Dia didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes tersebut selesai dibicarakan.
Hakim Mazdi turut menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan dokumen serta sebutan semula kes.
Tidak bersalah
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang wanita dan seorang lelaki turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan penderaan ke atas kedua-dua mangsa sama pada tarikh dan waktu yang sama.
Ng Hang Moon, 52, dan Lim Kim Boon, 42, yang merupakan penjaga kepada mangsa masing-masing nembuat pengakuan itu selepas pertuduhan dalam bahasa Mandarin dibacakan jurubahasa mahkamah ke atas mereka di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Kedua-dua mereka turut didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Muhammad Shahrezal tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh, namun Hang Moon merayu dibenarkan diikat jamin kerana menanggung seorang anak yang masih bersekolah selain hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan kira-kira RM70 sehari.
Sementara itu, Kim Boon dalam rayuannya pula memohon dibenarkan diikat jamin kerana hanya bekerja sebagai pembantu gerai jualan durian dengan pendapatan kira-kira RM20 sehari.
Hakim Norsalha kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi kes tersebut selain perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga perbicaraan kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 4 Julai depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan dokumen serta sebutan semula kes.- UTUSAN