MELAKA: Meskipun dihimpit kenaikan harga barang yang membebankan, seorang peniaga roti canai di Kampung Bukit Pulau, Bukit Katil di sini, tidak langsung berhasrat menaikkan harga jualannya iaitu 50 sen sekeping.
Kata Mustafa Abd. Latif, 58, kepada Utusan Malaysia, dia yang sudah 11 tahun menjual roti canai kosong dengan harga itu berbuat demikian atas permintaan penduduk kampung.
“Pelanggan saya kebanyakannya adalah penduduk tempatan di sini, mereka semua bukanlah orang senang dan jumlah ahli keluarga biasanya memang ramai.
“Ada sebuah keluarga datang ke kedai tanya harga sebungkus nasi lemak, apabila saya beritahu RM2.50 termasuk telur mata, dia terus ketepikan keinginan itu dan membeli 10 roti canai untuk keluarganya,” katanya ketika ditemui.
Mustafa berkata, dengan dibantu isteri, Norlela Salleh, 51, dan tiga anaknya, kedainya mampu menjual kira-kira 220 keping roti canai pada hari biasa, manakala meningkat kepada 440 keping pada hujung minggu.
Katanya, hatinya sentiasa tersentuh dengan ketidakmampuan sebahagian masyarakat, malah ramai yang mengeluh ketika dia menutup kedainya selama dua minggu ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Kalau mahu dikira, dengan bekalan tepung subsidi yang susah diperoleh pada hari ini, sehingga saya terpaksa menggunakan tepung lain pada harga RM3 sepeket (sekilogram), untung saya cuma RM30 sehari.
“Namun, mengenangkan penduduk sehingga ada yang mengeluh apabila kedai tutup, saya bulatkan hati untuk terus jual roti kosong pada harga 50 sen, selebihnya adalah sedekah,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia meminta kerajaan segera menyelesaikan masalah bekalan tepung subsidi yang didakwanya, semakin sukar diperoleh.
Jelasnya, sebagai peniaga roti canai, bukan semua jenama tepung sesuai digunakan kerana mempunyai kualiti berbeza.
“Bukanlah kita ini terlalu bergantung kepada satu jenama, hanya mereka yang menggunakan tepung setiap hari tahu bezanya, ada jenama roti jadi keras, tak lembut,” katanya. – UTUSAN