BUKIT MERTAJAM: Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Fahmi Zainol mengakui terkilan dengan halangan yang dikenakan terhadap usaha Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) untuk menganjurkan Debat Perdana antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Fahmi yang juga Ketua AMK Pulau Pinang berkata, ini kerana Universiti Malaya (UM) sebagai sebuah institusi seharusnya menjadi platform bagi merancakkan penganjuran wacana, pertukaran idea dan forum yang boleh memanfaatkan masyarakat secara keseluruhan.
“Isu yang lebih besar pada pandangan saya adalah soal duluan atau ‘precedent‘ yang kita tinggalkan terhadap usaha melaksanakan kebebasan ‘berakademik’ di kampus. Dalam hal ini, masa hadapan apakah yang kita harapkan daripada anak muda keluaran universiti hasil mengekang mereka daripada beraktiviti dan berkegiatan di kampus?” Soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, program debat yang akan berlangsung pada 12 Mei ini itu terpaksa diubah ke lokasi baharu iaitu di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) selepas pihak universiti dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaannya di Dewan Tunku Canselor, UM.
Difahamkan, sesi perdebatan itu akan disiarkan secara langsung oleh media rasmi melalui saluran televisyen dan media sosial yang akan diumumkan kemudian.
Fahmi berkata, ketika ada pihak yang seronok menghalang dan mengenakan sekatan terhadap sekumpulan anak muda, ia sebenarnya telah menyebabkan negara terpaksa mengambil satu ‘langkah lagi ke belakang’.
Katanya, ini sama sekali berbeza dengan apa yang dilakukan oleh universiti-universiti terkemuka dunia seperti Universiti Oxford yang kini menjadi pusat perbincangan dan perdebatan pemimpin negara malah seluruh dunia.
“Pendirian saya ketika ini ialah kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang usaha untuk menyekat kebebasan berakademik di kampus. Prinsip luhur ini juga saya terjemahkan sewaktu memimpin PMUM sebelum ini, walaupun sebagai ‘bayarannya’, saya digantung pengajian dan dianiaya,” jelasnya.
Tambah Fahmi, dia akan terus mengekal dan mempertahankan prinsip itu hingga kini demi melawan sebarang projek ‘pembodohan’ umat oleh pemegang kuasa. – UTUSAN