PETALING JAYA: Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC), KL.
Debat itu akan diadakan pada 12 Mei ini bermula pukul 9 malam.
Awalnya, lokasi debat itu yang sepatutnya diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), namun difahamkan pihak universiti tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.
Bagaimanapun, dalam kenyataan bersama, pihak Anwar dan Najib telah mencapai kata sepakat terhadap tempat penganjuran debat tersebut.
“Dengan ini dimaklumkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju memilih Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran debat tersebut pada 12 Mei 2022, pada 9 malam.
“Kedua-dua pihak turut berharap Debat Perdana ini berlangsung dengan sempurna minggu depan,” katanya.
Debat ini disiar secara langsung oleh media rasmi melalui saluran TV dan media sosial yang akan diumum kemudian. – UTUSAN