MELAKA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun enam bulan dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memiliki dadah di sebuah inap desa, tahun lalu.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Mohd. Afif Ishak, 33, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang tidak dikecualikan di bawah Bahagian IV Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234 Semakan 1980) atau sebarang peraturan dibuat bawahnya didapati memiliki dadah jenis methamphetamine, berat bersih 35.56 gram yang disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama.
Tindakan itu dilakukan Mohd. Afif kira-kira pukul 12.10 tengah malam di sebuah rumah di Jalan Bachang, Kampung Bachang dalam daerah Melaka Tengah pada 9 Oktober 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh yang tidak kurang dari lima tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan ia bukanlah kesalahan pertama tertuduh.
Jelasnya, tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara 24 bulan dan tiga sebatan atas kesalahan membabitkan dadah.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun enam bulan dan 10 sebatan terhadap tertuduh.
Nariman bagaimanapun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dengan hukuman yang sedang dijalani tertuduh. – UTUSAN