Cukai RM1.7b: Najib, Mohd. Nazifudin berjaya peroleh kebenaran merayu - Utusan Malaysia

Cukai RM1.7b: Najib, Mohd. Nazifudin berjaya peroleh kebenaran merayu

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin berjaya memperoleh kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung tuntutan tunggakan cukai berjumlah lebih RM1.7 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan sebulat suara memutuskan demikian selepas mendengar hujah-hujah pihak yang terlibat dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

“Kami sebulat suara memutuskan bahawa keperluan di bawah Seksyen 96A dan B Akta Mahkamah Kehakiman 1964 telah dipenuhi. Kos di dalam kos,” ujar Hakim Tengku Maimun ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Seksyen 96A dan B akta tersebut menyatakan rayuan daripada Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan boleh dilakukan sekiranya penghakiman yang diputuskan sebelum ini melibatkan soal prinsip am yang diputuskan buat pertama kali atau soal penting yang akan memberi kebaikan kepada awam dan akan memberi kesan ke atas mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan termasuklah kesahan undang-undang bertulis.

Hadir pada prosiding tersebut ialah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan MOhd. Nazifuddin selaku pemohon manakala LHDN diwakili Timbalan Peguam Cara Hasil, Dr. Hazlina Hussain. Turut hadir ialah beberapa peguam pemerhati daripada Badan Peguam selaku amicus curie.

Sementara itu, Muhammad Shafee ketika dihubungi memberitahu, pihak mahkamah selepas ini akan menetapkan tarikh untuk pengurusan kes pendengaran rayuan tersebut.

Najib dan Mohd. Nazifuddin memfailkan permohonan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara memutuskan rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Mohd. Nazifuddin) tidak mempunyai sebarang merit dan tiada kekhilafan yang harus diperbetulkan oleh mahkamah itu.

Pada 20 Oktober 2021, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib dan Mohd. Nazifuddin untuk menangguhkan pembayaran tunggakan cukai pendapatan itu sementara menunggu rayuan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan selepas mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pembayaran ditangguhkan sementara.

Sebelum ini, Najib dan Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berasingan yang membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd. Nazifuddin.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga memfailkan writ saman terhadap Mohd. Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Najib dan Mohd. Nazifuddin juga menerima notis kebankrapan daripada LHDN kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya