SEPANG: Polis merampas 28 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang disorokkan dalam ketuhar elektrik dan pembesar suara menerusi satu serbuan di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 dan 11 Mei lalu.
Dalam serbuan itu, dadah berkenaan ditemukan dalam 28 bungkusan teh cina dan plastik aluminium yang disumbat dalam peralatan elektrik tersebut.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abdul Rahman berkata, dadah berkenaan cuba diseludup ke Sabah dan Sarawak menggunakan perkhidmatan syarikat kurier tempatan.
Beliau berkata, menerusi rampasan pertama pada 8 Mei lalu, pihaknya merampas tiga kilogram dadah yang cuba diseludup ke Tawau, Sabah.
“Bagi kes kedua, sebanyak 25 kilogram dadah dirampas dipercayai cuba diseludup ke Kuching, Sarawak dan Tawau, Sabah. Secara keseluruhan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA merampas keseluruhan 56.07 kg syabu bernilai RM2.18 juta sejak Januari lalu hingga kini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, pihaknya mendapati, sindiket cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan syarikat kurier tempatan dengan memalsukan butiran penghantar dan penerima.
Imran tidak menolak kemungkinan ada pembabitan pekerja syarikat-syarikat kurier dalam aktiviti itu, namun ia masih dalam siasatan.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan.
“Kami tidak menolak kemungkinan sindiket itu didalangi warga tempatan dan tidak juga menolak ia dikawal oleh sindiket luar negara. Kami sudahmengesan dan mengenal pasti suspek, namun belum ada tangkapan dibuat ketika ini,” katanya.
Katanya, pihaknya juga menjangkakan kes penyeludupan dadah akan meningkat susulan pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu, namun sentiasa berada dalam keadaan siap siaga. – UTUSAN