JOHOR BAHRU: Isu pencemaran membabitkan ketulan buih putih terapung di permukaan Sungai Skudai, di sini yang tular sejak semalam tidak menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri, K. Raven Kumar berkata, beliau bersama-sama pasukan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menjalankan siasatan ke lokasi susulan aduan pencemaran sungai tersebut.
Beliau berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati tiada lagi buih putih dikesan di lokasi aduan di Sungai Skudai berdekatan jambatan Taman Impian Emas.
“Persampelan kualiti air sungai di LRA Sultan Ismail mendapati tahap kualiti air adalah normal dengan bacaan Oksigen Terlarut (DO) adalah 4.95 dan pH adalah 7.
“Pihak pengurusan LRA Sultan Ismail yang turut berada di lokasi kejadian memaklumkan pencemaran buih yang berlaku tidak menjejaskan operasi loji tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, tular sebuah video di media sosial berkenaan penemuan ketulan buih-buih putih yang penuh di sekitar Jambatan Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas.
Ekoran penemuan tersebut, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memanjangkan laporan aduan kejadian itu kepada pejabat Exco terlibat serta JAS untuk tindakan selanjutnya.
Raven Kumar berkata, pihaknya dan JAS Johor akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca pencemaran terutamanya di premis-premis yang beroperasi di sepanjang Sungai Skudai yang berpotensi menyebabkan pencemaran sungai berbuih.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd. Rashdan Topa berkata, hasil ujian yang dilakukan di lokasi mendapati kualiti air sungai Skudai berada pada tahap normal.
Beliau berkata, JAS Johor telah mengambil sampel air susulan kejadian Sungai Skudai berbuih dalam kejadian petang semalam.
“Hasil siasatan pada pagi ni kita mendapati tiada lagi buih kelihatan di lokasi dan kita juga telah mengambil sampel kualiti air yang didapati bacaan DO adalah pada tahap normal,” katanya.
Mohd. Rashdan juga tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku di sungai itu berpunca daripada industri di sekitar kawasan sekitar.
“Ya kita syaki pencemaran yang terjadi berkemungkinan besar berpunca daripada kilang-kilang di kawasan ini. Kita akan siasat terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN