Buah sawit ranum jadi sasaran pencuri - Utusan Malaysia

Buah sawit ranum jadi sasaran pencuri

BUAH sawit kini menjadi sasaran pencuri selepas warga peneroka tidak mampu menuai buah sawit atas faktor usia dan tiada tenaga buruh mencukupi. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kecurian buah tandan segar (BTS) di tanah rancangan Felda termasuk di Wilayah Jengka di sini semakin membarah dan membimbangkan berikutan kekurangan buruh asing sejak lebih dua tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beberapa peneroka secara sinis berkata, isu kekurangan buruh asing begitu ‘riuh’ diperkatakan di negara ini tetapi natijahnya ‘tang tu juga’ dan masalahnya tidak pernah selesai setakat ini.

Menurut mereka, kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh pihak berkaitan industri itu bagaikan ‘tiada lagi bisanya’ walaupun terdapat usaha untuk mengatasinya tetapi setakat ini masalah di lapangan tidak pernah selesai.

Ketua Kampung Felda Jengka 7, Ahmad Zubir Abd. Rahim, 64, berkata, dalam isu kecurian BTS, pencuri tidak boleh disalahkan 100 peratus kerana mereka pun tergiur melihat buah kelapa sawit masak ranum tidak dipetik.

Menurutnya, warga peneroka telah kerap kali bersuara tidak mampu menuai buah sawit dalam tempoh dua pusingan ditetapkan sebulan atas faktor usia dan tidak ada tenaga buruh mencukupi.

“Oleh itu banyak buah sawit terbiar dan membusuk di pokok menarik perhatian si pencuri menuainya tanpa mengira waktu. Apatah lagi dengan harga komoditi itu sekitar RM1,500 ke RM1,600 satu metrik tan pada ketika ini,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, industri sawit negara berisiko ketinggalan dengan pesaing yang lain jika urusan pengambilan buruh asing untuk bekerja di sektor komoditi itu terus perlahan dan tidak disegerakan.

Pada masa ini, sektor sawit memerlukan kira-kira 50,000 pekerja bagi menampung kekurangan tenaga kerja dalam komoditi tersebut yang disifatkan kritikal masa ini.

Zuraida berkata, kelompongan itu jika tidak diselesaikan segera akan memperlahankan pertumbuhan industri sawit tempatan dan boleh dipintas oleh negara-negara pesaing.

Pengerusi Biro Sosial dan Ekonomi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKR) Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, difahamkan kes kecurian buah sawit bukan sahaja berlaku di Jengka tetapi juga di tanah rancangan Felda seluruh negara.

“Fakta itu membuktikan betapa seriusnya masalah kekurangan buruh asing di rancangan Felda yang perlu diatasi segera.

“Peneroka mahu bukti kehadiran buruh bukan kenyataan berbentuk angka semata-mata,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, menyedari akan kemelut itu pentadbiran rancangan mengambil inisiatif mewujudkan petugas dalam kalangan peneroka sendiri bagi memantau kecurian buah sawit.

“Mereka yang dilantik akan meronda ladang pada setiap malam. Selain itu, kita memasang pagar di setiap jalan keluar dan menggali parit bagi laluan yang dipanggil lorong tikus,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya pemantauan secara berkala ini ternyata dapat mengurangkan kes kecurian buah sawit.

Ketua Kampung Felda Jengka 6, Saharuddin Lela, 64, berharap kerajaan dapat mengatasi isu tenaga buruh asing secara tuntas dan menyeluruh.

“Jika tidak diatasi segera, ia akan meningkatkan kerugian sehingga ratusan juta ringgit sebulan kepada warga peneroka dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya