Bomba Perak rekod 94 kes orang hilang, sesat dalam hutan - Utusan Malaysia

Bomba Perak rekod 94 kes orang hilang, sesat dalam hutan

NG YEE Chew dan See Su Yen dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan kepala air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak merekodkan 94 panggilan kecemasan membabitkan orang hilang atau sesat dalam kawasan hutan di negeri ini sepanjang 2021 hingga April lalu.

Pengarah JBPM negeri, Azmi Osman berkata, daripada jumlah itu, tujuh mangsa maut manakala 18 mangsa ditemukan dalam keadaan cedera dan 58 mangsa lain pula diselamatkan dengan kecederaan ringan.

“Sebanyak 67 kes orang hilang dan sesat direkodkan pada tahun lalu manakala 27 kes lagi dilaporkan sejak Januari hingga April tahun ini. Sepanjang tempoh itu, tujuh mangsa ditemukan maut.

“Berdasarkan siasatan, kita mendapati punca mereka ini khususnya pendaki sesat atau hilang dalam kawasan hutan kerana tersasar dari trek, mendaki berseorangan dan mendaki pada waktu gelap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

AZMI OSMAN

Mengulas lanjut beliau berkata, terdapat sembilan lokasi yang pernah dilaporkan kejadian mangsa sesat serta hilang iaitu melibatkan daerah Kinta, Muallim, Hulu Perak dan Larut Matang Selama.

Katanya, lokasi tersebut ialah di Gunung Korbu, Gunung Gayong, Gunung Suku, Bukit Kledang, Bukit Larut, Gunung Bujang, Bukit Intan, Gunung Liang, Bukit Celcom, Gunung Kenderong dan Gunung Kerunai.

“Bagi mengelakkan berlaku kejadian orang hilang mahupun sesat, orang ramai dinasihatkan agar membuat persediaan awal sebelum atau semasa melakukan aktiviti pendakian.

“Ini termasuk mendapatkan khidmat pakar seperti malim gunung dan Jabatan Perhutanan, mendaki secara berkumpulan, memaklumkan pendakian mereka kepada pihak berkuasa, mempunyai alat komunikasi yang baik dan membawa peta serta kompas apabila memasuki kawasan hutan,” katanya.

Azmi juga menegaskan, mereka yang berminat dalam aktiviti rekreasi itu perlu mengambil kira keadaan cuaca di lokasi pendakian serta kesihatan fizikal berada pada tahap terbaik bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Utusan Malaysia Ahad lalu melaporkan, dua pendaki wanita dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 27 individu lain di Hutan Simpan Kekal Gunung Suku.

Mangsa dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya