Bina segera kunci air, ban elak banjir berulang - Utusan Malaysia

Bina segera kunci air, ban elak banjir berulang

ABDUL Rahman Mohd. Redza menunjukkan lokasi air sungai yang naik secara mendadak sekali gus menyebabkan beberapa lokasi di sekitar Linggi termasuk Darul Widad dinaiki air banjir. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pembinaan kunci air satu hala di Sungai Solok dan batas di Sungai Linggi, di sini perlu segera dilakukan bagi mengatasi masalah banjir berterusan di Kompleks Pengajian Anak Yatim dan Warga Emas Darul Widad (Darul Widad) Linggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd. Redza berkata, pembinaan kunci air satu hala itu supaya air dari Sungai Solok tidak memasuki Sungai Linggi sehingga menyebabkan banjir berlaku di kompleks tersebut.

“Selepas lapan kali kejadian banjir berlaku di Darul Widad sejak 2019, isunya bukan lagi taburan hujan yang tinggi namun ketiadaan ban di Sungai Linggi menyebabkan air di Sungai Solok bertembung dengan air laut pasang sehingga menyebabkan air melimpah ke pekan Linggi dan berlaku banjir di Darul Widad.

“Cadangan pembinaan tersebut dibuat kajian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan. Mereka juga mencadangkan perkara yang sama termasuk pembinaan ban dan meninggikan tebing di Sungai Linggi.

“Saya difahamkan kajian itu telah siap dan dihantar ke Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri serta menunggu kelulusan di peringkat Kementerian Kewangan. Ia baru kajian dan belum ada lagi berita gembira bagi penyelesaian isu banjir ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, Darul Widad sekali lagi dinaiki air susulan kejadian banjir dan ia adalah kali kelapan berlaku sejak tahun 2019.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Darul Widad, Murat Naemat berkata, setiap kali berlaku banjir, perkara yang paling dibimbanginya adalah keselamatan penghuni kompleks pengajian tersebut yang merupakan warga emas.

“Setiap kali berlaku hujan lebat berterusan dan banjir di hulu iaitu di Seremban pasti memberikan kesan juga kepada kawasan Linggi termasuk Darul Widad. Saya harap tindakan pembinaan ban dan tebing serta cadangan pembinaan kunci air itu dapat disegerakan.

“Memang setiap kali banjir, kami terpaksa menanggung kerugian dengan anggaran sebanyak RM60,000 kerana kerosakan peralatan dan sebagainya. Banjir paling buruk yang berlaku adalah pada 19 Disember tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya