KUALA LUMPUR: Bimbang dengan kes penderaan kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi, pelakon jelita, Anzalna Nasir akui tidak akan menggunakan pengasuh untuk menjaga anaknya, Mohamad Eidrees.
Kata pelakon Sepah The Movie ini, dia lebih selesa membesar dan menjaga anaknya sendiri berbanding meletakkan tanggungjawab tersebut di tangan individu tidak dikenali.
“Ini adalah pilihan saya sendiri. Suami ada mencadangkan untuk mengambil pengasuh untuk membantu menjaga Eidrees kerana keadaan saya yang berbadan dua.
“Namun susah nak percaya orang dan saya tidak akan sesekali tinggalkan anak di bawah jagaan orang lain selain keluarga sendiri.
“Biarlah saya berkorban. Saya anggap ini rezeki kerana dapat menjaga dan membesarkan anak sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Anzalna bulan lalu memaklumkan dirinya hamil anak kedua. Dalam perkongsian di Instagram itu, pelakon tersebut mengesahkan, setakat April tahun ini, kandungannya sudah berusia lapan bulan.
Jelitawan berusia 34 tahun ini bagaimana mengakui bukan mudah menjaga anak dalam keadaan sarat mengandung.
Katanya ditambah lagi dengan perubahan sikap anak pertama yang semakin inginkan perhatian daripada kedua ibu bapanya.
“Memang mencabar. Bila nak dapat adik ini, perangai dia lain sedikit. Semakin inginkan perhatian.
“Oleh sebab itu, antara saya dan suami, dua-dua kena ada untuk dia.
“Sebab itu saya lebih senang jaga sendiri. Seronok dapat tengok dia membesar depan mata,” ujarnya.