BAYAN LEPAS: Bomba tidak menolak kemungkinan kematian remaja orang kelainan upaya (OKU) hiperaktif yang ditemui di bilik tidur rumahnya di tingkat lapan, Apartment Desa Bayan di sini pagi tadi akibat lemas terhidu asap kebakaran.
Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, mayat mangsa berusia 18 tahun itu ditemukan di satu sudut bilik tidur dalam keadaan tertiarap dengan kesan melecur 50 peratus di belakang badan.
Menurut beliau, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran pada pukul 8.59 pagi sebelum sebuah pasaukan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
“Anggota bomba memecah pintu untuk masuk ke kediaman tersebut sebelum menjumpai mangsa tertiarap dantidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik tidur. Mungkin mangsa lemas terhidu asap tebal.
“Keadaan di dalam bilik tidur itu terbakar secara keseluruhannya dan mangsa tinggal berdua di rumah tersebut bersama bapanya,” katanya di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mohd. Hafiz memberitahu, punca sebenar kebakaran masih disiasat dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat. – UTUSAN