Benih pokok ganja: Imbas semua bungkusan dari luar

Benih pokok ganja: Imbas semua bungkusan dari luar

KERATAN laporan muka depan Mingguan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) digesa melakukan pemeriksaan secara terperinci terhadap bungkusan pos atau mel dihantar syarikat pos dan kurier diterima daripada negara luar bagi mengelakkan aktiviti penyeludupan benih pokok ganja secara terancang terus berlaku.

Ini memandangkan wujud ketirisan dan kelemahan pihak berkuasa dalam menangani kegiatan berkenaan menyaksikan pembekal dan pengedar benih ganja yang beroperasi di luar negara, berhasil membawa masuk barang terlarang itu tanpa dikesan.

Shahul Hamid Abdul Rahim

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, pihak berkuasa mesti mengesahkan barang-barang dihantar adalah sama, tidak mempunyai ‘barang tersembunyi’ dan memperketat kawalan di pintu-pintu masuk sempadan negara.

Katanya, pemeriksaan itu pastinya memerlukan teknologi canggih yang dapat mengesan benih pokok ganja walaupun bersaiz sangat kecil.

Beliau antara lain tidak menolak mungkin berlaku ketirisan dalaman pihak berkuasa sehingga membolehkan benih ganja memasuki negara walaupun sudah mempunyai sistem kawalan dan pemeriksaan rapi.

“Bagaimanapun, ketirisan ini memerlukan pembuktian lebih kukuh. Apabila jabatan Kastam mengisytiharkan barang yang diterima, pihak berkuasa mesti periksa dan pastikan ia serupa seperti yang tertulis di dalam borang pengisytiharan itu.

“Memang sukar untuk kita memeriksa setakat pandangan mata kasar sahaja, jadi ia mesti menggunakan alat pengimbas juga. Saya sendiri pernah melihatkan alat pengimbas ini dan ia boleh kesan. Cuma, pemeriksaan rapi mestilah dilakukan.

“Keanggotaan pihak berkuasa sudah pasti perlu dipertingkat untuk mengawal semua kawasan panas menyaksikan penyeludupan berlaku memandangkan sempadan negara terlalu luas dengan jumlah kakitangan yang saya rasa belum mencukupi,” katanya ketika dihubungi.

Mingguan Malaysia mendedahkan, rakyat Malaysia begitu mudah mendapatkan benih pokok ganja hanya dengan berurusan secara dalam talian bersama syarikat pengendali perkhidmatan e-dagang di luar negara, sekali gus menunjukkan sisi kelemahan kawalan keselamatan dalam menangani sindiket penghantaran benih ganja ke negara ini.

Wartawan berhubung dengan beberapa syarikat e-dagang luar negara dan menyamar sebagai ‘pembeli’ benih pokok ganja, untuk mendapatkan maklumat lanjut bagaimana bekalan tersebut boleh memasuki Malaysia melalui syarikat kurier tanpa diketahui pihak berkuasa.

Tidak pernah berdepan masalah sepanjang hampir 20 tahun, taktik digunakan pembekal dan pengedar itu antaranya menggunakan mel atau sampul surat, melekatkan pek benih ganja di bahagian leher kemeja T dan dibungkus rapi, di dalam dompet, lego (alat permainan), penutup pen dan sarung CD/DVD manakala pembayaran dilakukan secara tunai, kad debit dan bitcoin.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim turut bersetuju bahawa proses kemasukan benih ganja ke negara ini mungkin didorong oleh risikan pihak tertentu melalui kerjasama dirancang di peringkat domestik dan antarabangsa.

Katanya, dengan meletakkan benih ganja di bahagian sukar dikesan selain saiznya sangat kecil sehingga tidak dapat dibezakan dengan benih tumbuhan lain, menyebabkan ia mudah dibawa masuk walaupun sudah melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

“Tiada cara untuk menghalang benih ganja masuk Malaysia, sebab saiznya terlalu kecil. Yang boleh digunakan untuk mengesan benih ganja seperti anjing pengesan, tetapi, adakah kaedah ini ekonomik? Ini kerana kos memerlukan dana sangat besar untuk menyelesaikan masalah yang terlalu kecil.

“Saya rasa pihak berkuasa sudah melakukan yang terbaik, undang-undang sudah ketat, pintu masuk dan sempadan negara juga sukar ditembusi. Sebaliknya, kita patut tanya diri sendiri, apa yang kita buat sehingga pihak luar boleh mengimportnya ke negara kita?

“Punca boleh berlaku sebab adanya permintaan daripada masyarakat, galakan daripada kenalan untuk menyeludup masuk. Kita pula (masyarakat) terlampau berdiam diri dan lepas tangan membiarkan hal-hal jenayah semakin besar dan akhirnya ia tidak dapat dikawal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya