Belian benih ganja tunjuk kecuaian pihak berkuasa

Belian benih ganja tunjuk kecuaian pihak berkuasa

GAMBAR diperoleh Utusan Malaysia daripada sumber memaparkan benih ganja dimasukkan ke dalam lego (alat permainan kanak-kanak) dan dihantar ke luar negara termasuk Malaysia secara pembungkusan bagi mengelakkannya dikesan pihak berkuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendedahan benih pokok ganja dari luar negara yang sangat mudah dibawa masuk ke negara ini menunjukkan pihak berkuasa cuai menjalankan tanggungjawabnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof. Madya Dr. Azmi Hassan berkata, hal ini memandangkan pembelian benih ganja secara dalam talian bukan dilakukan melalui pasaran gelap (dark web), sebaliknya secara terbuka dan boleh diakses semua orang.

“Memang pembelian dalam talian sangat sukar dibendung, tetapi ini tidak seharusnya berlaku kerana prosesnya boleh dibeli oleh orang ramai dan bukan bersifat rahsia lagi. Maknanya di sini kecuaian telah berlaku dalam sesebuah agensi.

“Tidak mungkin dikatakan pihak berkuasa boleh terlepas pandang, kalau orang ramai tahu dan boleh lakukan pembelian, maka ini bukan rahsia lagi. Jadi, seharusnya laman-laman sesawang ini perlu diteliti pihak berkuasa. Sesiapa yang berurusan dengan laman itu perlu diberi perhatian,” katanya ketika dihubungi semalam.

AZMI HASSAN

Dalam pada itu, Azmi menyarankan supaya pihak berkuasa melakukan langkah-langkah pencegahan drastik dengan menyasarkan negara-negara tertentu yang disyaki membekal dan mengedarkan benih ganja ke negara ini.

Jelasnya, setiap bungkusan atau mel diterima daripada negara disyaki itu perlu melalui sistem imbasan menyeluruh bagi mengelakkan barang terlarang itu sampai ke tangan pembeli.

Beliau mengambil contoh keberkesanan Singapura melalui tindakan penguatkuasaannya dalam menangani isu dadah tanpa mengira taktik-taktik digunakan oleh pembeli sama ada secara fizikal dan dalam talian.

“Memang kita ada alat pengimbas, tetapi sukar untuk imbas setiap perkara dalam hal ini. Ia hanya dilakukan apabila disyaki barang tersebut mempunyai ganja atau barang terlarang lain.

“Sebab itu, saya sarankan supaya kita imbas barang daripada negara-negara yang disyaki cenderung menghantar benih ganja ke Malaysia berdasarkan alamat penghantar sebab kalau buat imbasan kepada semua barang sampai ke Malaysia, ia sesuatu yang mustahil,” katanya.

Mingguan Malaysia mendedahkan, rakyat Malaysia begitu mudah mendapatkan benih pokok ganja hanya dengan berurusan secara dalam talian bersama syarikat pengendali perkhidmatan e-dagang di luar negara, sekaligus menunjukkan sisi kelemahan kawalan keselamatan dalam menangani sindiket penghantaran benih ganja ke negara ini.

Wartawan Utusan Malaysia berhubung dengan beberapa syarikat e-dagang luar negara dan menyamar sebagai ‘pembeli’ benih pokok ganja, untuk mendapatkan maklumat lanjut bagaimana bekalan tersebut boleh memasuki Malaysia melalui syarikat kurier tanpa diketahui pihak berkuasa.

Tidak pernah berdepan masalah sepanjang hampir 20 tahun, taktik digunakan pembekal dan pengedar itu antaranya menggunakan mel atau sampul surat, melekatkan pek benih ganja di bahagian leher kemeja T dan dibungkus rapi, di dalam dompet, lego (alat permainan), penutup pen dan sarung CD/DVD manakala pembayaran dilakukan secara tunai, kad debit dan bitcoin. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya