Bekas guru teruja anak didik sampaikan Anugerah Tokoh Guru

Bekas guru teruja anak didik sampaikan Anugerah Tokoh Guru

HUSIN Chek (dari kiri), Nubah Aton dan Jamil Jaamat menunjukkan plak Anugerah Tokoh Guru Negeri Melaka yang diterima pada Majlis Sambutan Hari Guru 2022 Peringkat Negeri di Banda Hilir, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas guru teruja dan bangga apabila anak didiknya yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menyampaikan sendiri Anugerah Tokoh Guru kepadanya, pada Majlis Sambutan Hari Guru 2022 Peringkat Negeri di sini, semalam.

Pesara guru, Husin Chek, 65, berkata, Sulaiman merupakan anak muridnya semasa di tingkatan empat dan lima pada 1983 dan 1984.

Katanya, beliau mengajar mata pelajaran sains di Sekolah Vokasional Alor Gajah dan ketika itu Sulaiman mengambil kursus elektrik.

“Saya seorang yang agak garang semasa jadi cikgu dulu. Biasalah kalau anak murid nakal. Kalau kena denda tu, memang dia (Sulaiman) ada kena. Tapi dia jenis yang patuh. Dia duduk di luar dan biasanya pelajar duduk luar kurang mesra dengan cikgu. Tapi sebab saya guru bola sepak, jadi semua boleh masuk (mesra).

“Kita buat reunion (perjumpaan semula), Alhamdulillah, dia pun ada datang. Saya rasa bangga bukan sebab Ketua Menteri sahaja, tapi ada beberapa lagi YB (Yang Berhormat) yang juga anak murid saya,” katanya yang telah berkhidmat sebagai pendidik selama 38 tahun.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Tokoh Guru, Jamil Jaamat, 68, menganggap pencapaian itu sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan baktinya sejak bergelar pendidik pada 1977.

Menurutnya, anugerah yang diterima itu juga merupakan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan seumur hidup.

“Saya ingin berpesan kepada guru-guru, jangan hanya jadi pendidik secara luaran sahaja. Mesti ada sikap rajin dan berusaha selain menjiwai dari dalaman.

“Pastikan juga setiap masa walaupun sekurang-kurangnya setengah jam pelajar dapat ilmu apa yang kita ajar. Kalau mengajar anak murid, pastikan mereka bijak dan berjaya dalam kehidupan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya