Bekas Exco Johor digantung keahlian MCA lima tahun - Utusan Malaysia

Bekas Exco Johor digantung keahlian MCA lima tahun

TEE Siew Kiong menunjukkan surat peRgantungan keahlian MCA pada sidang akhbar di pejabatnya di Danga Bay, Johor Bahru di sini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua MCA Bahagian Pontian yang juga bekas Timbalan Pengerusi MCA Johor, Datuk Tee Siew Kiong mengesahkan keahliannya dalam parti berkenaan digantung selama lima tahun berkuat kuasa serta-merta setelah menerima surat makluman perkara itu, 13 Mei lalu.

Menurut bekas Exco Kerajaan Johor itu, beliau tidak menjangka dikenakan tindakan tegas sedemikian kerana ada ahli parti lain yang melakukan kesalahan sama hanya dikenakan tindakan penggantungan keahlian antara setengah tahun atau tiga tahun.

“Saya berasa pelik kenapa parti mengenakan tindakan tegas terhadap saya atas kejadian mengadakan siaran langsung dan sidang akhbar semata-mata untuk jelaskan kebenaran sahaja.

“Hukuman ini tidak masuk akal, saya tidak sangka tindakan bercakap benar mampu membolehkan Presiden MCA (Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong) menggerakkan jentera parti untuk menggantung keahlian saya selama lima tahun.

“Menurut sumber dalaman parti, Jawatankuasa Tatatertib MCA pada asalnya mencadangkan untuk menggantung keahlian hanya selama satu tahun setengah, tetapi keputusan itu diubah secara tiba-tiba selepas Presiden pulang dari luar negara dan mengadakan mesyuarat majlis tertinggi,” katanya.

Beliau yang pernah dilantik sebagai Setiausaha Organisasi MCA Pusat itu berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya di Danga Bay, di sini hari ini.

Tambah Siew Kiong yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, beliau diberi masa selama 14 hari untuk membuat rayuan, namun akan mendapatkan pandangan beberapa pihak sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau bagaimanapun meminta agar penyokongnya bertenang dan tidak membuat sebarang tindakan yang boleh menjejaskan parti.

Siew Kiong turut menyindir Ka Siong dengan mengatakan sekiranya beliau merupakan Presiden UMNO atau DAP, pasti setiap hari akan ada ahli parti yang digantung keahlian hanya kerana perbezaan pendapat antara mereka.

“Seorang pemimpin politik bertanggungjawab membantu dan berkhidmat dengan mengambil kira kepentingan rakyat, tetapi Presiden sentiasa tutup sebelah mata dalam isu kebajikan rakyat walaupun telah menjadi Ahli Parlimen selama 20 tahun,” jelasnya.

Siew Kiong bagaimanapun memberitahu, perkara itu tidak akan melunturkan semangatnya untuk terus terlibat dalam berpolitik dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat di segenap lapisan masyarakat.

“Saya sentiasa berpandangan positif bahawa di mana ada kemahuan di situ ada jalan, jika ini tindakannya kita terima dan akan fikirkan apa cara yang boleh dilakukan kemudian. Buat masa ini saya belum terfikir mahu berhenti berpolitik,” jelasnya yang berusia 58 tahun.

Difahamkan, tindakan itu diambil terhadap beliau selepas pihaknya mengadakan sidang akhbar menjelaskan mengapa dirinya tidak dipilih selaku calon MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya