SEREMBAN: Tiada masalah kekurangan bekalan minyak masak termasuk dalam peket satu kilogram dilaporkan di bandar ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, sehingga kini, tiada aduan daripada pengguna.
Menurut beliau, setiap hari pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri melakukan pemantauan dalam usaha memastikan bekalan minyak masak mencukupi.
“Saya telah minta KPDNHEP memantau bekalan minyak masak dan mengambil tindakan segera jika ada peniaga yang melanggar peraturan. Kami juga mahu pastikan tiada peniaga memperdaya pengguna dengan tipu muslihat untuk tujuan tidak wajar,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum itu, tinjauan di rangkaian pasar mini terkenal di bandar ini mendapati bekalan minyak masak termasuk peket satu kilogram habis.
Namun rangkaian pasar raya besar dan kedai runcit masih mempunyai bekalan minyak masak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Abd. Muis Samsudin berkata, ketiadaan bekalan minyak masak di rangkaian pasar mini berkenaan berpunca daripada pusat edaran yang tidak dapat menghantar bekalan seperti lazimnya.
Katanya, gangguan sistem dalaman pusat itu menyebabkan penghantaran bekalan tidak dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa ditetapkan.- UTUSAN