KEMAMAN: Seorang ibu berdepan detik cemas apabila bayinya yang berusia 18 bulan terperangkap selama 30 minit dalam kereta di Taman Samudera Timur, Chukai, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Satria dipandu wanita berkenaan terkunci secara automatik ketika dia keluar ke kedai dobi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, setibanya ke lokasi kejadian, bayi itu didapati menangis dipercayai ketakutan.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas dan bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.
Sehubungan itu, Mohd. Zailani menasihatkan ibu bapa agar tidak meninggalkan anak masing-masing bersendirian dalam kenderaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. – UTUSAN