bapa didakwa

Bapa didakwa dedah tiga anak kepada bahaya

T. R. Vengadasalabathi dituduh mendedahkan tiga anaknya sehingga berisiko mendatangkan kecederaan kepada mangsa Mac lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mendedahkan tiga anaknya sehingga berisiko mendatangkan kecederaan kepada mangsa, Mac lalu.

Tertuduh, T. R. Vengadasalabathi, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai ejen insurans itu didakwa mendedahkan mangsa berusia lapan, tujuh dan empat tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tambun, Ipoh antara pukul 6.20 hingga 6.45 petang, 22 Mac 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj memohon mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta larangan tertuduh mendekati mangsa.

Bagaimanapun, peguam K. Nahtan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM2,500 bagi setiap pertuduhan selain menegaskan kes tersebut bukanlah kes penderaan seksual untuk melarang anak guamnya mendekati mangsa.

Hakim Ainul Shahrin membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai 2022 untuk tarikh sebutan semula kes.

Media pada 24 Mac lalu melaporkan, video berdurasi satu minit dua saat memaparkan tiga kanak-kanak berpakaian seragam sekolah mengeluarkan separuh badan di tingkap kereta jenis Mercedes-Benz ketika kenderaan itu sedang bergerak di jalan raya.

Video tersebut mengundang kritikan warga maya yang rata-rata mengecam tindakan pemandu kereta berkenaan yang tidak menegah aksi berbahaya kanak-kanak itu dalam keadaan kereta dipandu laju.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 37 tahun yang juga bapa kepada kanak-kanak itu ditahan reman dua hari untuk siasatan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya