MELAKA: Tujuh kawasan di Melaka terjejas dalam kejadian banjir kilat susulan hujan lebat berterusan selama dua jam sejak pukul 7 pagi tadi.
Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Melaka Tengah, Kapten (PA) Awang Bohari Awang Ahet berkata, hujan lebat menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan rendah di penempatan penduduk.
Katanya, maklumat berhubung situasi semasa sedang dikemas kini menerusi bantuan pelbagai pihak termasuk penghulu, penduduk kampung dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Kejadian hujan lebat sejak pukul 7 sehingga 9 pagi tadi menyebabkan tujuh kawasan dalam daerah ini dinaiki air. Kawasan terjejas adalah di Kampung Telok, Bukit Katil, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Sungai Putat, Bukit Cina, Taman Peringgit Ria, Batu Hampar dan Ayer Keroh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, bagaimanapun setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.
“Cuaca setakat ini masih mendung dan pemantauan dibuat oleh semua agensi yang terlibat dalam menjaga keselamatan penduduk. Setakat ini tiada PPS dibuka atau jalan yang ditutup kerana banjir kilat,” jelasnya. – UTUSAN