Banjir kilat akibat air laut pasang di Kuala Kedah - Utusan Malaysia

Banjir kilat akibat air laut pasang di Kuala Kedah

KEADAAN jalan yang dinaiki banjir kilat dalam kejadian air laut pasang di Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kebanyakan penduduk dan pelancong di pekan Kuala Kedah di sini terjejas akibat banjir kilat dalam kejadian fenomena air laut pasang, hari ini.

Banjir kilat sedalam kira-kira 0.3 hingga 0.5 meter berlaku apabila berlaku air laut pasang dari pukul 12 tengah hari hingga pukul 3 petang.

Kebanyakan pelancong yang terjejas itu merupakan dalam kalangan mereka yang menaiki feri di Terminal Jeti Kuala Kedah.

Pelancong, Izzati Zaini, 25, dari Pulau Pinang berkata, dia dan kawannya, Aishah Johari, 25, terpaksa meredah air membawa beg pakaian serta barang-barang sejauh 600 meter dari jeti untuk mengambil kenderaan.

Katanya, ketika berada di dalam bot, mereka  bimbang dengan ombak yang besar dan penumpang hanya berdoa perjalanan feri yang dinaiki mereka selamat.

“Apabila sampai di jeti Kuala Kedah, kami terkejut melihat air laut pasang melimpah di kawasan tempat letak kenderaan sedalam kira-kira 0.5 meter,” katanya.

Sementara itu, pengusaha kantin sebuah sekolah di sini, Rashidah Md. Nor, 43, pula berkata, kejadian itu sungguh memeranjatkan mereka menyebabkan sebagian kawasan kantinnya itu dinaiki banjir lumpur berikutan fenomena air laut pasang itu.

Menurutnya, kejadian seperti hari ini pernah berlaku pada empat tahun lalu hingga kenderaan yang mengguna jalan utama terjejas serta beberapa rumah turut dinaiki air.

“Air laut pasang itu mula naik pada pukul 12 tengah hari sedalam kira-kira 0.5 meter dan pada mulanya kami menjangka air hanya melimpah di jalan raya sahaja tetapi berlarutan hingga masuk di kawasan sekolah ini,” jelasnya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, kira-kira 300 rumah penduduk di Kampung Cina dan kawasan sekitarnya di Kuala Kedah di sini turut terjejas dalam kejadian banjir kilat susulan air laut pasang.

Bagaimanapun, setakat petang ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa terlibat.

Kesemua mangsa yang terjejas berpindah sendiri ke kawasan selamat sementara menunggu air laut di kawasan itu surut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya