KUALA LUMPUR: Seorang bakal pengantin lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen sah, enam tahun lalu.
Tertuduh, Lee Jan Wee, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu 23 Ogos 2016 di Jalan Wangsa Delima 5, KLSC 111, Wangsa Maju, di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin manakala tertuduh diwakili peguam, Izzat Amir.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 namun peguam tertuduh merayu agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap, tinggal bersama ibu bapa dan mempunyai anak berumur tiga tahun.
Izzat turut memaklumkan anak guamnya akan melangsungkan perkahwinan pada bulan hadapan.
“Tertuduh sebelum ini bekerja sebagai peniaga nasi ayam dan kes (seperti yang dipertuduhkan) adalah pada tahun 2016 namun tertuduh sudah tidak menjalankan perniagaan ini,” kata peguam itu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Difahamkan, lelaki terbabit telah memperdayakan mangsa dalam urusan pinjaman wang sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan sebuah kereta Honda Civic dan BMW X5 sebagai cagaran namun kereta tersebut telah dijual suspek tanpa pengetahun mangsa. – UTUSAN