ALOR SETAR: Pas tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan UMNO bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) walaupun timbul pelbagai isu melibatkan kedua-dua parti itu sebelum ini.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Muhammad Nor berkata, pegangan partinya tidak pernah berubah dengan keputusan dibuat sebelum ini iaitu untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Pas konsisten dengan perkara itu kerana matlamat kepada penubuhan MN dan PN adalah sama iaitu untuk penyatuan ummah.
“Kita mahu perkukuhkan kedudukan politik orang Melayu serta menyatupadukan ummah dalam keadaan cabaran kepada umat Islam di seluruh dunia semakin meningkat. Bagi kita PN boleh, MN pun boleh demi mengukuhkan perpaduan umat Islam di Malaysia dalam bidang politik.
“Kedua-duanya itu ada kepentingan untuk Islam dan Melayu dan disebabkan itu, Pas berpegang kepada keputusan memperkukuhkan MN dan memperkasakan PN,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Sebelum ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan Pas dan UMNO, merupakan formula terbaik bagi menghadapi PRU-15.
Namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu menyatakan, kerjasama UMNO dan Pas melalui MN perlu dilupakan pada PRU-15 kerana parti itu telah beberapa kali memberi ruang kepada Pas untuk mempersetujui perkara terkandung dalam piagam MN, namun tidak disepakati.
Muhammad Sanusi menambah, walau apa pun alasan diberikan pihak lain untuk menolak mana-mana gagasan, Pas tetap mengajak kepada memperkukuhkan perpaduan Melayu serta memperkukuhkan politik umat Islam di negara ini.
“Kuasa politik Melayu mesti dominan berdasarkan komposisi kaum di Malaysia dan sejarah latar belakang negara. Dalam masa sama bagi menghadapi cabaran masa depan, kita mesti bersatu padu.
“Perkara lain yang mengganggu gugat usaha menyatupadukan Melayu dan Islam perlu diketepikan. Ketepikan kepentingan diri, peribadi mahu pun kelompok untuk kita bersatu padu demi Islam dan orang Melayu,” katanya.
Tegasnya, buat masa ini, Pas langsung tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk UMNO pada pilihan raya akan datang. Kalau UMNO ada masalah, itu mereka punya pasal. Merekalah yang perlu selesaikan perkara itu,” katanya. – UTUSAN