PASIR PUTEH: Kawanan babi hutan jinak yang berlegar di kawasan rumah menimbulkan kegusaran penduduk Kampung Saring, di sini sejak sebulan lalu.
Paling kerap ‘berkunjung’ mencari makanan di kawasan itu ialah sepasang babi hutan yang tidak mengendahkan sergahan penduduk.
Seorang penternak kelulut, Raja Solehuddin Raja Karim, 44, berkata, babi sering menceroboh kawasan penternakan kelulut yang diusahakannya tanpa mengira waktu sama ada siang atau malam.
Menurutnya, kehadiran haiwan liar dari hutan yang berdekatan menyebabkan sarang kelulut dari batang kayu lama sering tumbang selepas disondol.
“Saya khuatir lebah kelulut itu akan meninggalkan sarangnya apabila kerap tumbang terutama ketika hujan lebat.
“Babi hutan ini masuk ke kampung tanpa mengira waktu siang atau malam. Amat berat hati untuk membunuhnya dengan umpan racun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di Kampung Saring di sini semalam.
Tambah Raja Solehuddin yang mengusahakan penternakan 100 sarang kelulut sejak 15 tahun lalu, penduduk amat berharap Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berhampiran atau mana-mana pihak berkaitan tampil membantu menghalau haiwan liar itu.
Seorang lagi penduduk, Raja Ibrahim Raja Ismail, 70, berkata, halaman rumahnya sering didatangi kawanan babi terutama pada waktu malam.
Menurutnya, ia mungkin disebabkan hutan berdekatan yang menjadi habitat haiwan liar itu diteroka bagi tujuan pembangunan dan sebagainya.
Katanya, usaha perlu dilakukan untuk menghalau babi yang berkeliaran yang dikhuatiri akan merosakkan tanaman di kawasan kebun yang berdekatan. – UTUSAN