Ayam raya tak cukup, kalau ada bersaiz kecil

Ayam raya tak cukup, kalau ada bersaiz kecil

Peniaga nasi kandar Pulau Pinang dakwa menerima bekalan ayam yang bersaiz burung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Peniaga mendakwa bekalan ayam di pasar awam Langkap di Hilir Perak tidak cukup untuk menampung permintaan yang tinggi menjelang Aidilfitri yang dijangka disambut Selasa ini.

Seorang peniaga ayam di pasar itu, Mohamad Firdaus, 25 berkata, bekalan ayam sememangnya tidak cukup sebelum ini dan keadaan itu dijangka berterusan menjelang hari raya.

Menurutnya, situasi itu berikutan pembekal hanya membekalkan 100 ekor ayam kepada peniaga ayam di pasar itu dan jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang tinggi daripada pembeli menjelang Aidilfitri.

“Hari ini pun orang sudah ramai yang balik kampung dan membeli keperluan raya sedangkan kami peniaga ayam di pasar ini dapat bekalan 100 ekor ayam sahaja, jumlah itu tidak cukup.

“Sedangkan pada hari biasa pun 80 ekor ayam boleh habis dijual inikan pula menjelang hari raya. Sepatutnya untuk keperluan raya, peniaga perlu dibekalkan sehingga 500 ekor ayam.

“Saya kecewa kerana sudah ramai yang balik kampung, mereka beli banyak untuk kegunaan hari raya, ada yang sampai 10 ekor seorang tetapi bekalan tak cukup,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sementara itu, bekalan ayam untuk pengguna di Batu Gajah masih mencukupi namun peniaga berkata ayam yang dibekalkan kepada mereka bersaiz lebih kecil berbanding saiz biasa.

Peniaga ayam di Pasar Awam Batu Gajah, Muhammad Taufiq Meor Saradi berkata, biasanya saiz ayam yang dibekalkan kepada mereka mencecah berat lebih kurang 1.7 kilogram sehingga 1.9 kg seekor.

“Tetapi sekarang pihak pembekal membekalkan ayam seberat 1.3 kg sehingga 1.5 kg sahaja,” katanya.

Muhammad Taufiq berkata, saiz ayam yang agak kecil merugikan peniaga kerana ayam akan susut berat dan cepat mati.

“Ayam yang kecil akan cepat susut berat dan boleh mati kalau tak cukup makan, jadi keadaan ini sudah tentu merugikan kami,” katanya.

Katanya, walaupun saiz ayam kecil, para peniaga di sini terpaksa membelinya bagi memastikan bekalan ayam semasa hari raya mencukupi.

Menurutnya, pihak pembekal tidak memberitahu mengapa saiz ayam yang dibekalkan agak kecil berbanding kebiasaannya.

“Mungkin kerana permintaan yang sangat tinggi disebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya