Ayam cukup, tidak perlu pembelian panik semasa Kaamatan

Ayam cukup, tidak perlu pembelian panik semasa Kaamatan

PEGAWAI KPDNHEP menjalankan pemantauan harga dan bekalan ayam di pasar raya di sebuah pasar raya Kota Kinabalu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bekalan ayam di negeri ini mencukupi jadi, tiada keperluan untuk pembelian panik sempena perayaan Pesta Kaamatan pada 30 dan 31 Mei ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, pemeriksaan bekalan ayam di pasar utama, pasar raya dan kedai runcit mendapati bekalan ayam mencukupi.

Ketika ini, penternak ayam tempatan dan pembekal masih mampu menampung bekalan di pasaran tempatan.

Terdapat 19 penternak ayam pedaging utama yang boleh mengeluarkan sebanyak tiga juta ekor ayam sebulan.

“Berdasarkan laporan harian pemeriksaan ayam di seluruh Sabah, purata ayam disembelih dalam tempoh sebulan dianggarkan sebanyak tiga juta ekor iaitu purata 100,000 ekor ayam sehari.

“Bekalan ayam yang dihantar ke pasar raya utama di Sabah pula adalah sebanyak 100 hingga 300 ekor ayam sehari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, memandangkan permintaan ke atas kepak ayam meningkat pada musim perayaan, maka kerajaan melalui kementerian itu menyenaraikan kepak ayam sebagai barang harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan yang berkuat kuasa pada 27 Mei hingga 2 Jun ini.

Menurut beliau, pihaknya bersedia bekerjasama dengan mana-mana kementerian dan agensi terutamanya berhubung isu harga dan bekalan ayam khasnya di negeri Sabah. Ia termasuk mengguna pakai undang-undang yang tertakluk di bawah bidang kuasa kementerian ini bagi memastikan kebajikan pengguna dan peniaga dijaga.

Mengulas lanjut katanya, KPDNHEP telah dan sedang menguatkuasakan Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam Dan Telur Ayam (PHMAT) bermula pada 5 Februari 2022 sehingga 5 Jun.

“Setakat ini, sebanyak 58 kes telah direkodkan, ia termasuk tiga kes telah dihasilkan di bawah kesalahan menjual barang harga kawalan melebihi harga maksimum, 51 kes gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu dan empat kes membabitkan kesalahan peniaga yang gagal mempamerkan harga.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi 58 kes itu adalah RM11,949.01 dan kesemua 58 kes itu telah dikompaun dengan jumlah nilai kompaun keseluruhan adalah RM9,200,” katanya.

Jelas Georgie, sejak PHMAT berkuat kuasa, sebanyak 11 aduan telah diterima dan semua aduan tersebut telah diselesaikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya