ARAU: Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Pengarah Prima Group Sdn. Bhd., Tan Sri Mohd. Ariffin Mohd. Yusuf mengetuai senarai penerima 325 darjah serta pingat kebesaran negeri sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-79 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau, di sini hari ini.
Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengurniakan Awang Adek dan Mohd. Ariffin dengan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad pula menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.
Menerima penganugerahan sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Mohd. Yusof yang sebelum ini merupakan Setiausaha kerajaan negeri.
Lima penerima Darjah Dato’ Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang membawa gelaran Datuk ialah Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad; Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Deputi Komisioner Muhammad Abdul Halim dan Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Akmal Che Mustafa.
Yang turut menerima DSPJ ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Aldrin Abdullah dan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Malaysia, Wan Jeffry Kassim.
Sementara itu, dua penerima Darjah Dato’ Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) yang membawa gelaran Datuk iaitu Pendaftar USM, Dr. Musa Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Md. Silmi Abd. Rahman.
Dalam pada itu, seramai empat individu menerima Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP) dan empat individu penerima Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP).
Bagi Darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP) membabitkan seramai 32 penerima diikuti Pingat Mahkota Perlis (PMP) sebanyak 36 penerima.
Tiga individu menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (61 orang), Pingat Jasa Baik (PJB) (153 orang) dan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL) seramai 20 penerima.
Pada sesi hari ini, seramai 22 individu menerima darjah dan pingat kebesaran tersebut, manakala baki 303 lagi penerima pada majlis lain yang akan ditetapkan. – UTUSAN