KEPALA BATAS: Satu sesi libat urus yang lebih telus berhubung cadangan pembinaan asrama pekerja, Pembangunan Kuarters (Penginapan) Pekerja Berpusat atau Centralized Labour Quarters (CLQ) perlu dilakukan demi rakyat khususnya penduduk di sekitar Bertam untuk meredakan keresahan mereka.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sesi tersebut perlu melibatkan tiga pihak iaitu kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta pemaju.
“Pendirian saya sama seperti UMNO Bahagian Kepala Batas iaitu secara peribadinya saya tidak bersetuju dengan cadangan itu (CLQ). Nak bawa industri (Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi) ke sini itu ‘okay’. Tapi, CLQ itu saya fikir tidak dan saya sudah nyatakan perkara ini kepada Datuk Bandar (MBSP) serta pihak yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, lebih 50 penduduk termasuk ahli kariah masjid di sekitar Bertam berkumpul bagi membantah cadangan pembinaan CLQ terbabit.
Rata-ratanya berpendapat, pembinaan tersebut akan menimbulkan beberapa masalah khususnya kepada penduduk setempat seperti masalah sosial, pencemaran, kesesakan dan sebagainya.
Dalam pada itu, Reezal Merican yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu, cadangan pembinaan CLQ di kawasan berkenaan sememangnya dikhuatiri akan mengganggu-gugat ketenteraman serta keselesaan penduduk setempat.
“Pada asasnya, segala projek pembangunan, perindustrian dan pelaburan di kawasan Parlimen Kepala Batas termasuk di Bertam sendiri adalah dialu-alukan dan disokong. Sokongan itu bagaimanapun bergantung iaitu selagi ia tidak membelakangkan hak-hak dan kepentingan penduduk di Parlimen berkenaan,” katanya. – UTUSAN