'Apakah sudah tiada calon selain Tajuddin?' - Utusan Malaysia

‘Apakah sudah tiada calon selain Tajuddin?’

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang sebelum ini hanya menjadi spekulasi sejak lapan bulan lalu mengundang respons tidak menyenangkan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok daripada DAP berkata, hal itu kerana Tajuddin sebelum ini sering kali terlibat dengan pelbagai kontroversi dan sikap tidak profesionalnya sekali gus menimbulkan persoalan tentang kriteria pelantikan tersebut.

Beliau berkata, wujud persoalan sama ada negara sudah tidak mempunyai calon-calon lain yang lebih layak dan berwibawa menyandang jawatan berkenaan selain pelantikan Tajuddin dibimbangi akan merosakkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Beliau mengimbau bagaimana Tajuddin sebelum ini menguruskan tragedi tren Transit Aliran Ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya yang bertembung pada tahun lalu dengan jawapan yang tidak dijangka.

“Kenyataan beliau yang kontroversi seperti mengejek nama keluarga saya di Dewan Rakyat pada 2016 dan bersikap acuh tak acuh sewaktu pelanggaran dua tren LRT pada tahun lalu mendedahkan diri beliau yang sebenar.

“Selama ini, Indonesia mempunyai hubungan yang rapat dengan Malaysia. Ia juga rakan strategik bagi Malaysia di rantau ASEAN. Hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia sangat penting.

“Apakah kerajaan sanggup menanggung malu jika Tajuddin meneruskan sikap dan perangainya setelah menjadi Duta Malaysia ke Indonesia? Adakah kita bersedia untuk menerima kemungkinan hubungan baik Malaysia-Indonesia akan terjejas?” Soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak 9 November tahun lalu, khabar angin menyatakan Tajuddin akan dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke republik berkenaan, bagaimanapun, beliau ketika itu enggan mengulasnya dan tidak pula menafikan dakwaan tersebut.

Pada 26 Mei tahun lalu, perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana ditamatkan berkuat kuasa serta-merta ekoran Tajuddin mendapat kecaman susulan kenyataan ketika mengendalikan sidang media yang didakwa tidak profesional.

Tajuddin menyifatkan keadaan dalam terowong bawah tanah selepas pertembungan itu sebagai ‘normal dan hanya dua tren bersama, saling bercium’ dan kemudian ketawa kecil.

Pelantikan Tajuddin adalah bagi menggantikan Datuk Zainal Abidin Bakar yang dilantik pada 2018 semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), keadaan itu sekali gus menyaksikan ahli politik kembali dipilih untuk menggalas tugas duta di luar negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawasan, P. Kasthuriraani pula berkata, sudah tentu kerajaan mempunyai calon lebih baik dalam Keluarga Malaysia termasuk diplomat dan pegawai kerajaan yang memiliki pengetahuan, pengalaman dan beradab untuk menjadi wajah serta imej Malaysia di peringkat global.

Katanya, menurut laman web Kementerian Luar, antara tugas seorang diplomat di luar negara ialah mengekalkan hubungan baik dengan negara luar dan organisasi antarabangsa seperti PBB, ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). 

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mesti memberikan justifikasi kepada semua rakyat Malaysia mengapa Tajuddin yang dipilih berbanding ramai lagi calon lebih berpengalaman dan berkelayakan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita sudah cukup menderita dengan satu ‘keaiban negara’ dan janganlah kita tambah lagi derita yang ada dengan pelantikan Tajuddin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya