KUALA LUMPUR: Pelakon Zamarul Hisham meluahkan kekecewaan terhadap sikap pekerja produksi yang tidak efisien dalam melakukan tugas.
Menerusi hantaran video yang dikongsikan, Zamarul atau nama penuhnya Zamarul Hisham Mohamed, 51, menegur pekerja-pekerja berkenaan yang endah tak endah dengan tugas mereka.
“Apa masalah kau ini, kenapa bangang sangat? Dah tahu sistem bunyi ada masalah, kenapa tak beritahu awal-awal?
“Jangan sudah habis baru nak beritahu, bangang betullah kerja macam ini! Aku tak boleh kerja dengan orang macam inilah,” luahnya.
Namun begitu, Pemerhatian Utusan Malaysia di ruangan komen mendapati rata-rata netizen beranggapan Zamarul sedang berlakon.
“Dia tengah berlakon, yang kena marah pakai kaca mata hitam itu (cameraman) tengah ambil video. Seolah-olah dia (Zamarul) marah dengan seseorang,” komen seorang pengguna.
Selain itu, majoriti pengguna media sosial percaya bahawa amukan tersebut tidak lain hanyalah bahan promosi drama.
“Marketing tak habis-habis. Dah basi gimik macam ni,” komen seorang lagi pengguna.
“Ingatkan betul-betul. Berlakon rupanya,” luah pengikutnya.
Untuk rekod, Zamarul mula bersinar dalam industri ketika membintangi drama Gerimis Mengundang.
Dia kini bergiat aktif di sebalik tabir sebagai pengarah. Terbaharu, Zamarul baru saja mengarahkan naskhah Aku Tanpa Cintamu.