SHAH ALAM: Seorang guru menganggap kerjaya pendidik sebagai ‘fisabilillah’ kerana bukan sahaja mengorbankan wang ringgit sendiri untuk mengajar, bahkan turut mengorbankan masa bersama keluarga untuk bersama dengan murid.
Demikian kata guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, Cikgu Muhammad Sany Kasmori, yang pernah ditegur keluarganya kerana terlalu kerap menghabiskan masa di sekolah berbanding keluarga di rumah.
“Dahulu ketika anak masih kecil, mereka selalu merungut tidak dapat luangkan masa dengan saya disebabkan saya menghabiskan masa saya di sekolah, selain menjadi salah seorang warden do sini.
“Namun semakin membesar, mereka memahami tanggungjawab saya terhadap kerjaya ini, justeru tidak pernah merungut langsung sekiranya saya ke sekolah,” katanya bapa kepada empat cahaya mata itu ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Cikgu Sany, 41, minat terhadap dunia pendidikan dan kasih kepada anak murid menyebabkan dia sanggup berkorban masa dan wang ringgit bagi memastikan kemenjadian pelajarnya.
Menurutnya, walaupun berdepan cabaran dengan kerja-kerja tambahan di samping mengajar, namun mengenang kenangan-kenangan manis bersama anak muridnya seolah-olah melegakan segala kepenatan.
“Saya masih ingat lagi pada tahun 2009, ada seorang pelajar lelaki yang tinggal di asrama sekolah yang terjatuh dari katil ketika tidur, akibat kejadian itu bersengkang mata menghantar dan menunggu pelajar berkenaan di hospital sehingga pukul 6 pagi.
“Sedangkan pukul 7 pagi itu sudah kena standby untuk pergi ke sekolah, tetapi gagahkan diri jugalah untuk mengajar. Memang penat, tetapi bila kenang balik itulah yang paling manis,” kongsinya yang pernah menjadi warden asrama dekat sekolah tersebut.
Dalam pada itu, Cikgu Sany turut menitipkan nasihat kepada generasi guru muda supaya memperbaiki komunikasi dengan anak murid supaya mereka selesa dan memudahkan proses pembelajaran.
“Murid-murid kadang-kadang nak cerita macam-macam pada cikgunya memandangkan mereka banyak menghabiskan dengan cikgunya. Oleh itu, berilah peluang untuk murid ini meluahkan perasaan kepada mereka, seperti anak kita meluahkan perasaan kepada ibu bapanya,” nasihatnya yang sudah 16 tahun berkhidmat di SMK Seksyen 18. – UTUSAN