Anak maut dilanggar bas: Keluarga reda, tak simpan dendam

Anak maut dilanggar bas: Keluarga reda, tak simpan dendam

NURUL Aishah Mohamad Kassim menunjukkan gambar adiknya yang maut dilanggar bas sekolah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: “Pemandu bas ada hubungi saya, minta maaf. Saya pun tak salahkannya kerana dia pun trauma.”

Demikian luahan Zainab Mohideen Abdul Kadar, 37, ibu kanak-kanak berusia setahun lima bulan yang maut selepas dilanggar bas sekolah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini kelmarin.

Katanya, dia, suami serta keluarganya reda dengan kejadian menimpa Zahida Mohamad Kassim yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

“Pemandu bas pun susah, bas dia kena sita dan sekarang dia di balai. Dia ada hubungi saya dari semalam dan tadi pun ada tanya dah selamat kebumi atau belum anak saya.

“Saya tak simpan dendam pun kepada pemandu, malah dengan rela hati saya beritahu polis yang mengambil keterangan. Saya tak nak pemandu bas tersebut diapa-apakan,” katanya ketika di rumahnya, di sini semalam.

Zainab yang bekerja sebagai pembantu kantin berkata, dia sudah lama menggunakan khidmat pemandu bas tersebut untuk mengambil anaknya yang lain pergi dan balik dari sekolah.

“Dia hantar anak saya ke sekolah. Saya tidak ada masalah dengan pemandu bas dan suami juga tidak ada masalah. Kita reda dan tidak boleh berdendam. Bagaimanapun saya belum jumpa lagi sebab dia pun masih trauma.

“Semasa kejadian, saya dan suami tiada di rumah kerana bekerja. Pemandu bas meminta maaf kepada ibu mentua saya dan dia cakap, ‘minta maaf mak cik, saya tak nampak’,” katanya.

Menceritakan ketika kejadian, kakak mangsa, Nurul Aishah Mohamad Kassim, 13, memberitahu, dia nampak adiknya di bawah bas dan terus mengangkat sebelum tayar belakang melanggarnya.

Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik itu, pada mulanya dia naik ke tangga bas untuk memberikan wang belanja sekolah kepada adiknya yang lain berusia lapan tahun.

“Selepas bagi duit pada adik, saya turun dari bas dan bergerak. Kemudian, saya nampak Zahida bawah bas dan menjerit. Saya ambil adik terus bawa masuk ke dalam rumah.

“Pak cik bas itu juga meminta maaf kepada nenek dan beritahu dia tak nampak dan tidak sengaja. Bagaimanapun, nenek memintanya menghantar murid lain yang berada di dalam bas ke sekolah,” katanya.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu yang dipercayai mengikut kakaknya menaiki bas meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Salak Tinggi akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian di badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi memaklumkan, pemandu bas tersebut telah diambil keterangan dan pihaknya akan menyiapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya