SHAH ALAM: Hari Raya Aidilfitri atau 1 Syawal 1443H diputuskan jatuh pada hari ini, 2 Mei selepas hilal (anak bulan) sudah kelihatan pada tarikh cerapan walaupun dikatakan luar daripada kriteria Imkanurrukyah.
Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir berkata, sebelum perisytiharan dibuat, pemerintah atau pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap penemuan anak bulan oleh saksi dan memutuskan sama ada hendak menerima atau menolak kesaksian tersebut.
Menurut beliau, keutamaan diberikan kepada kesaksian berdasarkan rukyah walaupun umat Islam cuma berpuasa 29 hari.
“Perkara itu seperti dinyatakan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud ‘Barangsiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu’.
“Situasi itu turut dijelaskan menerusi hadis Nabi Muhammad SAW riwayat al-Bukhari yang bemaksud ‘janganlah kalian berpuasa sehingga melihat hilal, jangan pula kalian berbuka sehingga melihatnya, jika kalian terhalang oleh awan, maka sempurnakanlah hitungannya’,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Utusan Malaysia semalam melaporkan umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Adilfitri pada hari ini selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan perisytiharan tersebut.
Mengejutkan
Pengumuman tersebut didakwa mengejutkan orang ramai apabila Aidilfitri tiba awal sehari berbanding jangkaan pada 3 Mei.
Dalam pada itu, Anhar turut menjelaskan, kaedah kriteria Imkanurrukyah untuk menentukan bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah digunakan di negara ini sejak 1992.
Penilaian tersebut kemudian ditambah baik bermula awal Muharram pada tahun lalu setelah kajian semakan semula data-data hilal dilakukan bagi tempoh 30 tahun.
“Imkanurrukyah sebagaimana diamalkan oleh Malaysia dan negara-negara serantau sepeti Indonesia, Brunei dan Singapura adalah; hilal dianggap boleh kelihatan apabila matahari terbenam tinggi hilal tidak kurang 3 darjah dan elongasi matahari bulan tidak kurang 6.4 darjah.
“Menurut kriteria ini, apabila kedudukan hilal memenuhi kriteria yang ditetapkan pada tanggal 29 hb hijriah maka keesokannya dianggap sebagai permulaan bulan baru. Namun, jika tidak maka keesokannya digenapkan menjadi 30 haribulan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, kriteria itu dibangun berdasarkan pemerhatian yang berterusan terhadap data dan rekod kenampakan hilal di seluruh dunia.
Kaedah tersebut menjadi alternatif menurut ilmu falak dalam membentuk satu takwim hijriah yang sistematik dan saintifik serta tidak bertentangan dengan kehendak syarak termasuklah dalam menentukan permulaan Ramadan dan Syawal.- UTUSAN