KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan tegas bagi mempertahankan kedaulatan perairan Sabah daripada pencerobohan tentera China.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, langkah itu sebagai tanda menghormati Sabah selaku rakan sekutu dalam Malaysia seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Justeru, kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan tegas terhadap sebarang ancaman luar demi mempertahankan kedaulatan perairan negara, terutama Sabah.
“Sabah terdedah secara langsung dengan konflik pertindihan tuntutan terhadap kepulauan dan kawasan terumbu karang di Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan berkaitan konflik tuntutan wilayah di Laut China Selatan dari masa ke semasa.
“Saya mendapati ancaman terhadap kedaulatan perairan Sabah amat membimbangkan kerana negeri ini berada di barisan hadapan di kawasan pertindihan tuntutan berkenaan.
“Gesaan ini memerlukan tindakan lebih serius kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pertahanan dan agensi berkaitan,” katanya.
Ahli Parlimen Keningau itu berkata, pencerobohan aset ketenteraan China di Laut China Selatan bukan sesuatu yang baharu kerana ia sudah berlaku sejak 2013.
Malah, sepanjang tahun lalu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaporkan 23 kes pencerobohan di Zon Ekonomi Eksklusif Negara (EEZ).
Mengulas lanjut katanya, ancaman terhadap kedaulatan perairan negara turut menjejaskan ekonomi Malaysia.
Sejak, Agensi Penguatkuasaan Maritim China menceroboh Kawasari, kerja-kerja pembangunan minyak dan gas di Sarawak oleh Petronas telah terjejas.
Ancaman pencerobohan oleh 300 kapal maritim China yang melakukan rondaan di Laut China Selatan menjejaskan aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan tradisi di Sabah.- UTUSAN