PETALING JAYA: Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) menggesa Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas bagi menangani aktiviti membuli dan diskriminasi di fasiliti kesihatan awam susulan kematian seorang doktor pelatih di sebuah hospital di Pulau Pinang.
Menurut MHC, langkah itu perlu diambil bagi menjamin tempat kerja yang sihat ke arah budaya kerja yang positif di semua institusi penjagaan kesihatan negara.
Katanya, budaya kerja positif diperlukan bagi menolak aktiviti membuli dan diskriminasi untuk menggalakkan pembelajaran, pembangunan dan peningkatan kualiti modal insan dalam kalangan petugas kesihatan.
“Walaupun kami memahami bahawa petugas kesihatan junior mesti bekerja lebih lama untuk belajar kemahiran dan kecekapan, kami menggesa keseimbangan yang melindungi kesejahteraan dan kesihatan mental mereka.
“Kami ingin mengingatkan semua rakyat bahawa petugas kesihatan profesional negara sedang mengalami tekanan yang luar biasa semasa pandemik Covid. Keadaan menjadi semakin buruk disebabkan tekanan sedia ada yang telah wujud sebelum pandemik akibat daripada sistem penjagaan kesihatan awam yang terbeban, serta kekurangan kakitangan dan dana.
“Sekiranya tekanan ini tidak ditangani dengan baik, kesejahteraan dan kualiti kerja petugas kesihatan bakal terjejas. Hal ini akan turut memberi impak kepada penjagaan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, MHC menyambut baik keputusan untuk menubuhkan pasukan petugas bagi menyiasat kematian doktor pelatih itu, seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini.
Siasatan awal polis berhubung doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang yang maut terjatuh dari bangunan pangsapuri di Jalan Dato Keramat pada 17 April lalu mendapati si mati pernah mengadu dia terbeban dengan tugas.
Doktor pelatih dari sebuah universiti swasta di ibu negara itu ditempatkan di hospital tersebut pada 4 April lalu iaitu tiga minggu sebelum dia ditemui meninggal dunia. – UTUSAN