PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir bersama hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan beberapa kawasan di Negeri Sembilan.
Facebook Jabatan Meteorologi memaklumkan amaran tersebut sehingga pukul 1 petang ini.
“Kawasan terlibat di Negeri Sembilan adalah Seremban, Port Dickson dan Rembau,” kata kenyataan itu hari ini.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Selain itu, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Pada masa sama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan tiga kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap Satu iaitu berjaga-jaga di mana suhu maksimum harian adalah 35 hingga 37 darjah Celcius.
Ia sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Menerusi kemas kini status cuaca panas sehingga jam 4.25 petang MetMalaysia memberitahu, tiga kawasan tersebut ialah di Batang Padang, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.– UTUSAN