Air Sungai Ngulang bertukar hitam, premis perindustrian diarah henti operasi

Air Sungai Ngulang bertukar hitam, premis perindustrian diarah henti operasi serta-merta

KEADAAN di Sungai Ngulang, Padang Besar, Perlis masih sama apabila air yang sebelum ini jernih masih berwarna hitam manakala bangkai-bangkai ikan sudah dikutip.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Masalah air Sungai Ngulang bertukar hitam dengan ratusan ikan ditemukan mati disyaki berpunca daripada premis perindustrian di Bukit Keteri di sini yang beroperasi tanpa menjalankan Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian (SPEP) dengan sepenuhnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Mohamad Fitri Said berkata, tindakan telah diambil dengan mengarahkan premis itu menghentikan operasi pengeluaran serta-merta.

MOHAMAD FITRI SAID

Tegasnya, proses pengeluaran sisa tersebut hanya boleh dijalankan apabila SPEP bersedia digunakan bagi merawat efluen perindustrian yang dihasilkan.
“Kita telah menerima aduan berkaitan isu tersebut (air sungai bertukar hitam) pada sebelah malam 2 Mei lalu. Keesokan hari, pasukan siasatan JAS telah membuat  pemantauan di lokasi dan sepanjang aliran sungai terlibat sehingga ke Kawasan Perindustrian Bukit Keteri.

“Tinjauan pada sebelah pagi pada 7 Mei pula mendapati bangkai ikan tersangkut pada pintu air di Sungai Ngulang menyebabkan bau busuk.

“Sampel efluen juga telah diambil untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi tindakan lanjut diambil di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia me­laporkan, air sungai yang jernih di Sungai Ngulang di sini bertukar kehitaman dan ratusan ikan ditemukan mati terapung.

Situasi tersebut mula disedari penduduk di kawasan tersebut sejak awal pagi Jumaat dan menjelang petang, ikan semakin banyak terapung di permukaan sungai berkenaan sehingga menimbulkan kegusaran mereka yang sering melakukan aktiviti memancing di situ.

Dakwa penduduk, masalah itu berpunca daripada pelepasan sisa dari loji pengolahan efluen dari kilang di Bukit Keteri yang jaraknya sekitar lima kilometer dari sungai berkenaan.

Masalah air di Sungai Ngulang yang bertukar kehitaman pernah dilaporkan tahun lalu dan sejak itu situasi tersebut tidak lagi berulang sehinggalah kembali berlaku ketika ini.

Tambah Mohamad Fitri, pemantauan lanjut terhadap premis-premis lain di kawasan perindustrian itu juga sedang dilaksanakan bagi memastikan pematuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Tindakan tegas sentiasa diambil terhadap premis yang gagal mengikuti peraturan-peraturan yang ditetapkan. Kita memandang serius isu ini dan sentiasa melakukan pemantauan berterusan,” katanya.

Sementara itu, pemerhatian Utusan Malaysia di kawasan tersebut mendapati air di Sungai Ngulang berkenaan masih berwarna hitam.

Seorang penduduk, Mohd. Azrif Md. Amin, 29, berkata, situasi di sungai tersebut masih sama manakala bangkai-bangkai ikan yang terapung itu pula sudah dikutip.

“Kamu berharap tindakan segera diambil bagi mengelak masalah tersebut semakin serius dan terus berulang sehingga menyebabkan pencemaran di sungai tersebut,” katanya.

Perlu beri perhatian serius isu air Sungai Ngulang

Isu pencemaran di Sungai Ngulang yang menyaksikan airnya bertukar hitam serta menyebabkan ratusan ikan mati perlu dipandang serius agar kejadian pencemaran seperti di Sungai Kim Kim, Johor yang memberi kesan kepada penduduk tidak berlaku di sini.

ROSNANI NAZRI

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Tek­nologi Marin Lestari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Rosnani Nazri berkata, sampel air sungai yang berwarna hitam dan bangkai ikan perlu diambil untuk tujuan bedah siasat apa kadar kimia yang ada di sungai tersebut sehingga menyebabkan ratusan ikan mati.

Katanya, secara asasnya, kadar kandungan ammonia, nitrogen dan fosforus yang tinggi dalam air boleh menyebabkan ikan berkenaan mati di samping penurunan kadar oksigen dalam air.

Ujarnya, apabila kadar tersebut tersebut tinggi di dalam air, ia boleh menjadi toksik terhadap hidupan sungai.

“Sepatutnya kilang yang bertanggungjawab perlu membuang sisa secara berjadual dan di tempat yang sepatutnya bukan di sungai sehingga menyebabkan pencemaran.

“Kalau boleh, Jabatan Alam Sekitar (JAS) kena bertindak terhadap kilang terbabit atau mengambil tindakan membawa ke mahkamah. Pencemaran sehingga menyebabkan ratusan ikan mati dan air bertukar hitam adalah sesuatu perkara yang cukup serius,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, air sungai yang jernih di Sungai Ngulang di sini bertukar kehitaman dan ratusan ikan ditemukan mati terapung. -UTUSAN

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya