PONTIAN: ‘Mood’ raya 24 buah keluarga terganggu seketika apabila kediaman mereka dinaiki air berikutan hujan lebat lima jam di Pekan Nanas, di sini, pagi ini.
Penghulu Mukim Pontian, Fadzullah Mohd. Yusof berkata, kawasan terjejas antaranya Kampung Paya Embun (6 keluarga), Kampung Seri Gambut (4 keluarga), Kampung Melayu Raya (11 keluarga) dan Kampung Maju Jaya (3 keluarga).
Bagaimanapun, setakat ini belum ada keperluan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Dua PPS yang diwartakan adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya dan SK Kampung Sawah.
“Kedua-dua pentadbiran sekolah telah dihubungi bagi proses pemindahan jika keadaan bertambah buruk,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Menurut Fadzullah, keadaan paras air di tempat kejadian terutama Lorong Teratai di Kampung Paya Embun dianggarkan kira-kira tiga kaki dan Kampung Maju Jaya pula setinggi dua kaki.
“Turut berada di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa adalah anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas,” ujarnya.
Jelas beliau, hujan lebat pagi ini dilokasi kejadian bermula sejak pukul 3 pagi sehingga 7pagi yang turut disusuli angin kuat.
Katanya, penduduk terlibat enggan berpindah kerana masih dalam suasana teruja untuk berraya selain ramai ahli keluarga yang berada di kampung.
“Kami akan terus memantau keadaan di kawasan tersebut dan berhubung dengan ketua-ketua kampung yang terlibat,” katanya.- UTUSAN