KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan melakukan pecah amanah dana milik Yayasan Akalbudi ketika mengarahkan pemindahan wang sebanyak RM17,953,185.21 ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co., enam tahun lalu. Jumlah itu melibatkan pertuduhan keenam daripada 12 kesalahan pecah amanah yang dihadapinya.
Presiden UMNO sebaliknya memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pemindahan wang itu bertujuan memastikan harta milik yayasan diuruskan oleh firma guaman yang mempunyai kemahiran serta kepakaran menjaga akaun pelanggan.
Ujarnya, pemindahan itu dibuat melalui surat daripada Yayasan Akalbudi yang ditandatanganinya bertarikh 23 Jun 2016 kepada Affin Bank untuk dipindahkan ke dalam akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co.
Bekas Timbalan Perdana Menteri juga menjelaskan, tindakan itu diambil selepas beliau menyedari Setiausaha Eksekutifnya ketika itu, Mejar Mazlina Mazlan cuai dan kerap melakukan kesilapan ketika mengendalikan pengurusan kewangan peribadi miliknya dan Yayasan Akalbudi.
Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, antara kesilapan yang kerap dilakukan termasuk menulis amaun yang berbeza dengan perkataan pada cek serta gagal menghantar penyata bulanan serta dokumen lain yang diperlukannya.
Semalam, Ahmad Zahid memberitahu, kecuaian itu termasuk melunaskan bayaran kad kredit secara berlebihan iaitu RM155,183 walhal jumlah yang perlu dibayar sebanyak RM136,604.58.
Oleh yang demikian, Ahmad Zahid menyatakan, beliau mengambil pendirian bahawa Mazlina bukan sahaja tidak mempunyai latar belakang perakaunan, malah kerap mengulangi kesilapan meskipun selepas ditegur dan dinasihati berkali-kali.
“Apakah pilihan yang saya ada melainkan mencari jalan agar jumlah wang dalam simpanan semasa dipindahkan ke dalam akaun sebuah firma guaman yang mempunyai akauntan dan pegawai akaun berkemahiran untuk menjaga akaun pelanggan,” ujarnya.
Dalam keterangannya, tertuduh menegaskan, wang RM17,953,185.21 yang dikreditkan kepada akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co, masih milik Yayasan Akalbudi bukan kepunyaan Yayasan AlFalah atau firma guaman tersebut.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyatakan demikian pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal sewaktu sesi pemeriksaan utama dalam prosiding bela diri yang masuk hari keempat.
Ahmad Zahid sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan itu.
Terdahulu, Ahmad Zahid turut menafikan pecah amanah wang Yayasan Akalbudi sebanyak RM107,509.55 yang didakwa digunakan untuk membayar polisi insurans kenderaan dan lesen milik persendirian. Beliau sebaliknya menegaskan, pertuduhan itu tidak benar kerana pembayaran polisi insurans kenderaan dan lesen itu diuruskan oleh Mazlina menggunakan cek-cek yang telah dipratandatangan.
Ujarnya, cek itu milik Yayasan Akalbudi yang dipratandatangannya untuk kegunaan yayasan namun Mazlina menyalahgunakan cek
tersebut dengan membuat pembayaran polisi insurans dan lesen kenderaan.
Ahmad Zahid menjelaskan, cek-cek yang dipra-tandatangan adalah untuk kegunaan segera sahaja seperti pembayaran kepada kontraktor-kontraktor bagi pembinaan yang sedang dilaksanakan oleh Yayasan Akalbudi atau pembayaran segera yang perlu dijelaskan apabila beliau berada di luar negara. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.
Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd..
Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN